
GAZA, 10 Disember: Seramai 10 orang pengamal perubatan termasuk dua orang anggota Ikatan Pengamal Perubatan Muslimin Malaysia (I-Medik) cawangan Mesir telah diberi penghormatan daripada pihak Hospital As-Syifa’ untuk melawat sekitar kawasan hospital dan jabatan-jabatan kesihatan dalam rangka lawatan Misi Solidariti Gaza 2012.
Anggota I-Medik Mesir yang terlibat sama dalam misi kali ini ialah mantan pengerusi I-Medik Mesir, Mohamad Saif bin Jamaludin, mahasiswa tahun akhir Universiti Kaherah dan juga saudari Nur’izzah Abdul Majid, mahasiswi Universiti Mansurah.
Rombongan tersebut telah disambut baik Pengarah Jabatan Pembedahan yang juga merupakan Pakar Bedah Hospital As-Syifa’, Dr. Abdel Ghaffar Zanin. Menurut beliau, Hospital As-Syifa’ menempatkan lebih kurang 600 buah katil termasuklah 100 buah katil di Jabatan Pembedahan dan 14 buah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Jabatan Pembedahan dan Jabatan Bedah Orthopedik merupakan jabatan terbesar di hospital berkenaan yang diberikan nama “Surgical War Department”. Kedua-dua jabatan ini banyak terlibat dalam menguruskan mangsa-mangsa perang dimana kebanyakan mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan tangan yang memerlukan pembedahan segera.
Menurut salah Dr. Feroza Sulaiman, peserta misi yang merupakan pakar bius di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beliau mengatakan bahawa persekitaran wad agak tersusun dan terdapat peralatan yang lengkap buat masa ini. Keadaan buruk hanya berlaku sewaktu perang tercetus, dan pihak hospital mengalami kekurangan katil serta ubat-ubatan termasuklah ubat bius kerana kekurangan bekalan dan nilai harga yang tinggi.
Semasa di bilik mayat Hospital As-Syifa’, para peserta masih boleh melihat darah para syuhada yang syahid sepanjang Perang Hijaratul Sijjin yang lalu. Darah-darah syuhada masih terpalit pada peti-peti mayat dan lantai bilik berkenaan.
Kebanyakan doktor-doktor yang berkhidmat di hospital As-Syifa’ merupakan penduduk Gaza sendiri. Terdapat dua buah universiti yang menawarkan kursus perubatan iaitu Al-Azhar University dan Islamic University Gaza. Kebanyakan graduan akan mengambil ijazah lanjutan di luar negara dan kemudian akan kembali berkhidmat untuk rakyat di tanah air mereka sendiri.
Pihak Hospital As-Syifa’ berharap lebih banyak sumbangan diberikan kepada pihak mereka tidak kira sama ada dari segi kewangan, ubat-ubatan mahupun doa untuk membantu mereka membangunkan semula hospital tersebut dan agar mereka dapat berkhidmat sebaiknya kepada rakyat Gaza yang memerlukan.
Sumber: IMedik.org