
KAHERAH, 8 Februari 2026 —
Isma Mesir menyambut baik seruan kesatuan sebagaimana ucapan pembukaan oleh YBhg. Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, Menteri Penasihat (Pendidikkan), Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), dalam Kursus Konsolidasi Tadbir Urus Persatuan 2026 anjuran Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir (MP3M) yang telah berlangsung di Dewan Malaysia Abbasiyah Kaherah (DMAK), Mesir.
Dalam program itu, Isma Mesir diwakili oleh barisan kepimpinan iaitu Ustaz Aqil bin Zamani (Pengerusi Isma Mesir), Ustaz Ahmad Muinuddin (Setiausaha) dan Ustaz Raja Mohd Zulfadhli (Bendahari). Kehadiran ini mencerminkan komitmen Isma Mesir dalam memperkukuh tadbir urus organisasi serta mengeratkan hubungan strategik antara persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir.
Majlis penutup kursus juga telah disempurnakan oleh Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, Menteri Penasihat (Pendidikan), Kedutaan Besar Malaysia Kaherah merangkap Pengerusi Lembaga Penasihat MP3M sesi 2025/2026, serta penyerahan borang pembaharuan pendaftaran persatuan di sebelah petang program.
ISMA Mesir menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur atas penganjuran kursus yang bermanfaat ini dan berharap jalinan strategik antara persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir terus diperkukuh untuk sesi hadapan.
Dalam menghadapi perkembangan teknologi semasa, pengurusan tadbir persatuan menjadi satu perkara penting untuk dipertingkatkan, Isma Mesir komited untuk menjadi organisasi yang bukan sahaja aktif dikalangan mahasiswa, bahkan melahirkan ahli yang berdaya saing dan profesional dalam pelbagai perkara. Penyertaan dalam kursus ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperbaiki dan meningkatkan perkembangan Isma Mesir sebagai sebuah persatuan yang terus relevan di masa akan datang.