Blog Isma Mesir

FAMILY DAY ISMA MESIR 2026 MENGIKAT UKHUWWAH BERSAMA

October 14, 2026

AIN SOKHNA, Mesir — Nilai ukhuwwah merupakan asas penting dalam pembentukan masyarakat dan komuniti khususnya dalam kalangan mahasiswa Malaysia yang menuntut ilmu di perantauan. Menyedari kepentingan ini, ISMA Mesir saban tahun telah menganjurkan aktiviti Family Day sebagai acara tahunan bagi mengeratkan hubungan ukhuwah dan memperkukuh kebersamaan dalam kalangan ahli.

Penganjuran program ini bertujuan menyediakan ruang rehat kepada mahasiswa setelah melalui sesi pengajian selama setahun sebelum kembali meneruskan sesi pengajian yang baharu. Dalam masa yang sama, program ini menjadi medan untuk menyuburkan nilai ukhuwwah, perkenalan dengan mahasiswa baru serta merapatkan hubungan antara ahli ISMA Mesir daripada pelbagai latar belakang fakulti pengajian di Mesir.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam di Resort Hayah, Ain Sokhna itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik termasuk aktiviti pantai, war game, perkongsian tadabbur, acara sukan dan lain-lain lagi. Menariknya Family Day pada tahun ini adalah lokasi resort yang terletak bersebelahan Laut Merah, sekali gus memberikan peluang kepada para peserta menikmati keindahan pemandangan alam semula jadi dan merehatkan minda dalam suasana yang mendamaikan.

Dalam ucapan wakil Jawatankuasa Cawangan ISMA Mesir, Ustaz Nik Khalifah menegaskan bahawa : “Aktiviti rehlah yang mengikat ukhuwwah seperti ini merupakan sebahagian daripada fitrah manusia yang perlu diraikan.”

Tambah beliau, penganjuran Family Day ini juga selari dengan seruan ISMA Mesir melalui agenda membangun komuniti, yang menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan bagi meluaskan jaringan kenalan dan membina hubungan yang lebih erat tanpa mengira latar belakang.

Pendekatan ini diharapkan dapat melahirkan komuniti mahasiswa yang bukan sahaja kukuh dari sudut ukhuwwah, malah saling menyokong dalam pembangunan diri dan kehidupan bersama.

#FamilyDay26
#Soifi2026
#IsmaMesir

 

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini