
KAHERAH, 5 Oktober 2026 – Hari Apresiasi ISMA Mesir dan Anugerah Kecemerlangan 2026 telah berlangsung dengan jayanya pada 27 September 2026 bertempat di Dewan Masjid Ansar, Hayy Sabik. Penganjuran majlis ini bertujuan memperkenalkan hala tuju dan agenda ISMA Mesir untuk beberapa tahun kehadapan, disamping memberikan penghargaan serta meraikan kecemerlangan ahli sepanjang sesi 2025/2026.
Majlis apresiasi ini telah dihadiri oleh seluruh ahli ISMA Mesir serta wakil daripada beberapa persatuan mahasiswa di Mesir, termasuk Ustaz Mohd Khalidi dan Ustaz Muhammad Abdul Rahman mewakili Persatuan Anak Kenyalang Mesir (PAKEM), Ustaz Nik M. Ammar yang mewakili Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM Mesir), serta Ustaz Ahmad Zulhilmi dan Ustaz Muhammad Danial Arshad yang mewakili MIFTAH Mesir.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran dua tetamu kehormat, Yang Berbahagia Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, Menteri Penasihat (Pendidikan), Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK), dan Ustaz Shuhaib ar-Rumy bin Selamat, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), bagi menyempurnakan pelancaran seruan ISMA Mesir, “Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah”.
Dalam ucapannya YBhg. Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin telah menekankan bahawa keunggulan mahasiswa hendaklah dizahirkan melalui keluasan ilmu, keteguhan jati diri, keluhuran akhlak serta kesediaan untuk memainkan peranan dalam memimpin dan menyumbang kepada ummah.
Dalam majlis ini juga, barisan kepimpinan ISMA Mesir turut membentangkan agenda seruan tersebut secara terperinci mengikut setiap portfolio masing-masing.
Majlis apresiasi ini juga diisi dengan penyampaian anugerah dan penghargaan kepada seluruh ahli yang telah menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang sesi pengajian yang lalu. Majlis turut meraikan individu yang menerima Anugerah Tokoh Dakwah, Tokoh Akademik, Tokoh Fitness dan Tokoh Suri, serta penerima Anugerah Rumah Dakwah.
Selaras dengan aspirasi tersebut, Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Usaid bin Zaidi, dalam ucapannya menegaskan bahawa keunggulan seorang mahasiswa tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata, bahkan turut merangkumi keupayaan seseorang untuk menjadi teladan kepada masyarakat, mengangkat nilai-nilai Islam serta berani memimpin ke arah kebaikan.
Berteraskan seruan “Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah”, ISMA Mesir komited untuk terus membina generasi mahasiswa yang berilmu, berakhlak, berkepimpinan dan berjiwa besar dalam memikul tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara, sekaligus melahirkan barisan pelapis yang mampu menerajui kepimpinan ummah pada masa hadapan.
Gagasan seruan ini juga turut menggariskan lima ciri utama yang perlu dimiliki oleh seorang mahasiswa unggul, iaitu kecemerlangan akademik, kepimpinan, kejelasan agenda, sahsiah terpuji dan kefahaman Islam Wasatiyyah.
#ApresiasiISMA
#IsmaMesir
#MahasiswaUnggulMemimpinUmmah