
KAHERAH, MESIR — Seramai 50 orang mahasiswa Malaysia menyertai Majlis Khatam Pengajian Syarah 60 Mas’alah, sebuah siri pengajian Fiqh Mazhab Syafie anjuran Mudarasah ISMA Mesir (MUIS) dengan kerjasama Persatuan Anak Kenyalang Mesir (PAKEM) bertempat di Surau Asrama Sarawak, baru-baru ini.
Pengajian ini merupakan sambungan daripada siri pengajian Fiqh Mazhab Syafie yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu. Penganjuran kelas fiqh ini berujuan menjadi salah satu ruang kepada mahasiswa untuk mendalami ilmu fiqh secara lebih tersusun, berperingkat dan berpandukan kitab turath yang muktabar.
Penguasaan ilmu Fiqh Mazhab Syafie adalah suatu perkara penting khususnya bagi mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut ilmu di Mesir, memandangkan mazhab ini juga merupakan mazhab utama di Malaysia. Pengajian ini juga turut diperkukuh dengan bimbingan Syeikh Muhammad Sayyid Sa’adani, ahli lajnah Dar-Ifta Mesir, yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Fiqh Mazhab Syafie.
MUIS turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada PAKEM atas kerjasama yang diberikan dalam menjayakan siri pengajian ini. Kerjasama dan hubungan kukuh seperti ini diharapkan dapat terus diperkasakan dalam usaha membudayakan pengajian ilmu dalam kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.
Siri pengajian Fiqh Mazhab Syafie ini akan diteruskan pada masa akan datang dengan maklumat berkaitan pengajian seterusnya akan dimaklumkan kemudian. Diharapkan agar sambutan mahasiswa terhadap pengajian ilmu terus meningkat, di samping diingatkan kepada seluruh mahasiswa untuk mengambil inisiatif mengulang kaji setiap tempoh pengajian yang telah dilalui.
#MUISMesir
#ISMAMesir
#MahasiswaUnggulMemimpinUmmah