
KAHERAH, 5 September 2026 – ISMA Mesir telah menganjurkan Majlis Ramah Mesra bersama tiga orang pimpinan ISMA dari Malaysia bertempat di Dewan Daha, Hayyu Asyir, pada awal September yang lepas. Program telah berlangsung dari jam 3.30 petang hingga 6.00 petang menghimpunkan seluruh ahli ISMA Mesir bagi mendapatkan pendedahan serta pandangan berkaitan hala tuju mahasiswa sebelum pulang berbakti di tanah air.
Majlis tersebut menampilkan tiga orang tetamu jemputan, iaitu Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian, Sekretariat Ulum Syara’ Pemikir dan Felo Kanan Pemikir, Ustaz Wan Ahmad Izzat bin Wan Ahmad Sanadi, Ketua Biro Dakwah ISMA, serta Ustazah Hasanah binti Khairuddin, Pegawai Eksekutif Kanan ISMA. Kehadiran mereka menjadi ruang interaksi secara langsung bersama aktivitis Isma yang berada di Mesir.
Dalam pengisian program, para hadirin didedahkan dengan perkongsian peranan dan potensi mahasiswa sebagai sebahagian daripada projek-projek strategik usaha dakwah yang digerakkan oleh ISMA. Perkongsian yang disampaikan turut memberi gambaran berkaitan keperluan mahasiswa untuk membina kemahiran, pengalaman serta persediaan yang cukup untuk menyumbang dalam pelbagai bidang sesuai dengan kemampuan dan keperluan gerak kerja semasa.
Sesi ramah mesra yang berlangsung dalam suasana santai dan terbuka turut memberi peluang kepada ahli ISMA Mesir untuk mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan secara langsung daripada tetamu jemputan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi medan untuk memperkukuh hubungan antara aktivitis ISMA Mesir dengan kepimpinan pusat di Malaysia. Selain memperluas kefahaman mahasiswa terhadap peranan mereka dalam gerak kerja semasa, program ini turut diharapkan dapat melahirkan mahasiswa yang lebih bersedia, berkemahiran dan mampu memainkan peranan secara berkesan dalam projek-projek dakwah di masa akan datang.