Blog Isma Mesir

Kalam Pengerusi Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah

August 11, 2026

Mahasiswa unggul bukan sekadar penuntut ilmu, bahkan merupakan pemegang amanah untuk menghidupkan syiar Islam di setiap tempat yang dijejaki. Keunggulan seorang mahasiswa tidak diukur pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut terserlah melalui keperibadian, kepimpinan dan kesediaannya menjadi teladan kepada masyarakat dalam mengangkat nilai-nilai Islam serta membawa perubahan ke arah kebaikan.

Tanah air sentiasa menanti lahirnya generasi yang bukan sahaja cemerlang dari sudut akademik, bahkan kuat jiwanya, kukuh jati dirinya dan menjadikan Islam sebagai panduan dalam setiap langkah kehidupan. Justeru, mahasiswa perlu mempersiapkan diri untuk memikul amanah memimpin ummah dengan hikmah, ilmu dan akhlak yang terpuji.

Saya percaya bahawa pembinaan mahasiswa sedemikian bermula sejak berada di bumi Mesir. Di sinilah mahasiswa perlu memanfaatkan ruang dan pengalaman yang ada untuk membina ilmu, jati diri, kepimpinan serta jaringan bersama pelbagai pihak. Setiap pengalaman dan usaha yang digerakkan hari ini merupakan sebahagian daripada proses mempersiapkan diri untuk kembali berbakti kepada agama, masyarakat dan negara.

Seiring dengan usaha tersebut, Isma Mesir telah mengadakan satu kunjungan ziarah mahabbah pada 5 Ogos 2026 ke pejabat Encik Johar bin Zainal Abidin, Atase Pendidikan Negeri Perak di Wisma Perak Baitul Ridzuan.

Kunjungan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan silaturahim, bahkan menjadi ruang untuk bertukar pandangan dan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan khususnya dalam menjayakan Program Sambutan Mahasiswa Baru (PSMB) untuk sesi kali ini.

Pertemuan ini diharapkan dapat membuka ruang kerjasama yang lebih erat antara mahasiswa dan pegawai atase negeri dalam usaha memperkasakan pembangunan diri mahasiswa di Mesir.

Sesungguhnya, mahasiswa yang unggul bukan hanya dinilai melalui apa yang dicapai untuk dirinya, tetapi juga melalui sejauh mana dirinya mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Setiap jaringan yang dibina, setiap pengalaman yang dilalui dan setiap amanah yang dipikul merupakan latihan untuk kita menjadi pemimpin yang lebih matang dan berjiwa besar.
Semoga slogan “Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah”, bukan sekadar ungkapan yang dibaca, tetapi menjadi semangat yang benar-benar dihayati dan diterjemahkan dalam setiap langkah kehidupan kita.

Mudah-mudahan segala usaha yang digerakkan di bumi Mesir mampu melahirkan generasi mahasiswa yang berilmu, berkepimpinan dan berakhlak mulia yang mampu menyumbang tenaga kepada ummah dan tanah air apabila pulang ke tanah air nanti.

 

 

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini