Blog Isma Mesir

Rekod cemerlang sejak bangku sekolah

August 11, 2016

muktaz2

MADINAH NASR, 11 Ogos – Anak jati Negeri Sembilan ini, saudara Ahmad Muktaz Bin Abdul Halim sekali lagi menempah nama dalam pencapaian akademik beliau pada tahun ini dengan merangkul pangkat Mumtaz dalam peperiksaan tahun pertama beliau dalam kuliah Perubatan di Universiti Ain Shams, Kaherah. Seramai dua orang pelajar Malaysia yang mendapat pangkat Mumtaz dalam peperiksaan tersebut di mana seorang lagi pelajar merupakan sahabat baik beliau, Muhammad Daniel Abqhori Bin Abdul Malek.

“Kita memahami bahawa pembelajaran kita hendaklah lebih dari sekadar lulus dalam peperiksaan bahkan ia adalah suatu hadiah kepada Islam yang mengajar kita untuk mengejar yang terbaik. Wajib bagi kita mahasiswa mempunyai matlamat yang besar. Kesibukan kamu bergantung pada apa yang kamu agendakan,” kata beliau.

“Harapan saya supaya mumtaz sepanjang enam tahun di Universiti Ain Shams;” ujar beliau ketika ditanyakan apakah harapan dalam pencapaian akademik beliau di Mesir.

Menurut beliau juga, hubungan dengan ibu bapa dan guru mestilah dijaga agar keberkatan hadir ketika dalam pembelajaran. Amal ibadah pula mestilah dititikberatkan agar kejayaan itu mudah untuk dicapai.

Sejak dari bangku sekolah rendah lagi rekod pencapaian akademik beliau harum dengan pencapaian cemerlang di setiap kalo peperiksaan besar yang beliau hadapi. Bermula dari peperiksaan UPSR dengan pencapaian 5A, beliau seakan tiada halangan untuk mencapai kejayaan seterusnya dalam peperiksaan PMR dengan kejayaan 9A.

Berbekalkan keazaman untuk menjejaki bumi Mesir sejak sekolah menengah, ia tidak menjadi peluntur semangat untuk mencipta sejarah peribadi beliau dalam peperiksaan SPM dengan kejayaan 11A penuh walaupun beliau mengambil subjek sains tulen seperti Biologi, Kimia dan Fizik. Kemudian niat ke Mesir diteruskan dengan mengambil peperiksaan STAM di Akademi Ikatan Muslimin, Ipoh, Perak dengan memperoleh keputusan Mumtaz kesemua sepuluh subjek.

Di samping kecemerlangan beliau di dalam pencapaian akademik, beliau juga turut aktif dalam kokurikulum dan pernah meraih anugerah Pendebat Terbaik dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Peringkat Nusantara anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2013.

Di Mesir pula, beliau melibatkan diri dengan kerja-kerja amal persatuan pelajar Isma Mesir dan merupakan ahli Isma Mesir Syukbah Sabiek. Bagi beliau, kehidupan sebagai seorang pelajar di Mesir bukanlah sekadar mengejar kecemerlangan akademik semata-mata bahkan hendaklah mendedahkan diri di dalam persatuan untuk menambah kemahiran dan skil demi menjadi manusia yang bermanfaat pada masyarakat.

Inilah contoh mahasiswa cemerlang akademik dan syakhsiah yang mesti dicontohi oleh mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan Nil dalam usaha menjadi pelajar yang bermanfaat kepada masyarakat.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini