

Ustaz Najid Bin Jamalulail (pertama dari kiri) bersama Dr. Anas Bin Alwi ketika menghadiri Majlis Konvokesyen Ustaz Hafizuddin Bin Jamaluddin pada tahun 2014. -gambar hiasan
KAHERAH 15 Februari – Sepanjang waktu cuti semester satu yang baru melabuhkan tirainya semalam, wartawan ISMA Mesir sempat menemu ramah seorang graduan Universiti Al-Azhar, Ustaz Najid Bin Jamalullail berkenaan isu mahasiswa dan akademik dan berikut merupakan saranan beliau kepada semua penuntut Melayu khasnya di Universiri Al-Azhar ;
“Para mahasiswa di Universiti Al-Azhar, hargailah peluang yang Allah berikan kepada kita menuntut ilmu di sini. Al-Azhar dan kota Kaherah merupakan pusat tamadun ilmu Islam yang terakhir dan masih kekal hingga ke hari ini semenjak pasca kejatuhan Empayar Islam pada tahun 1924. Silibus dan manhaj ilmu yang bersifat wasatiyah merupakan permata yang bernilai buat para pendakwah Islam di Malaysia”.
Menurut Ustaz Najid lagi, yang baru sahaja berjaya menamatkan pengajiannya di Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar pada tahun lepas, kombinasi subjek-subjek di Al-Azhar merupakan satu ramuan yang lengkap bagi melahirkan para asatizah yang kompeten.
Hujah beliau, “ramuan subjek yang lengkap dari Ilmu bahasa Arab dan Sastera, Ilmu Ahkam Islam hingga ke Usul Fiqh, dan dari Ilmu Tafsir hingga ke Ilmu Hadis kesemuanya memelihara dan memahami Nas agama. Di samping itu, Ilmu Falsafah dan Ilmu Kalam sebagai senjata melawan hujah Atheis dan pemikiran yang salah, dan juga tidak dilupakan ilmu Tasawuf yg membasahi jiwa para Ilmuan Islam”.
“Semuanya merupakan ramuan lengkap melahirkan ulama Islam yang kontemporari menegakkan agama dan mempertahankannya dari diancam musuh-musuh Islam”, tambah beliau lagi.
Ustaz Najid yang kini berada di tanah air merupakan aktivis ISMA Shah Alam dan sedang memohon untuk melanjutkan pengajiannya di peringkat Master (sarjana) di universiti tempatan.