
Kemerdekaan merupakan suatu nikmat yang sangat besar dalam kehidupan dan peradaban sesebuah bangsa. Ia bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal, bahkan lebih daripada itu, ia adalah kebebasan jiwa, akal, dan budaya daripada belenggu kuasa dan pengaruh asing.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan “merdeka” yang berasal daripada kalimah “merdeheka” merujuk kepada: “bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lain-lain, lepas daripada tebusan, tuntutan, berdiri sendiri, tidak bergantung pada yang lain”. Manakala, lafaz “kemerdekaan” pula membawa makna: “perihal merdeka (bebas), iaitu kebebasan”. Adapun merujuk kamus bahasa Arab –sebagai bahasa Islam yang disuaikan kepada bahasa Melayu– seperti Kamus al-Muḥīṭ, lafaz (استقلال) diambil daripada kata akar (استقلَّ), yang membawa maksud: “menyempurnakan kedaulatannya dan bersendirian pada tata kelola hal ehwalnya secara dalaman dan luaran”.
Dalam hal ini, kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan pada tanggal 31 Ogos 1957, kemudiannya disertai penyatuan Sabah dan Sarawak melalui penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 bukanlah datang secara percuma atau hasil kurniaan pihak penjajah, tetapi ia dibayar dengan pengorbanan darah, air mata, keringat dan usaha tanpa jemu daripada para pejuang dahulukala.
Namun, apabila kita meneliti sejarah, kita akan dapati bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan tidak dapat dipisahkan daripada peranan ilmu dan ulama. Tanpa ilmu, masyarakat pasti tidak akan sedar tentang hakikat dan ruh sebuah kebebasan. Tanpa ulama, masyarakat tidak akan mendapat bimbingan rohani dan kudrat untuk menuntut keadilan yang berasaskan kepada tuntutan kehendak syariat, yang selari kepada fitrah kemanusiaan (الطبيعة الإنسانية).
Ilmu sebagai Penyuluh Semangat Kemerdekaan
Dalam Islam, ilmu adalah asas kepada segala bentuk kebangkitan. Allah SWT mengangkat darjat orang yang berilmu sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran:
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
(Surah al-Mujadalah: 11)
Ayat ini menunjukkan bahawa ilmu adalah cahaya yang memimpin manusia keluar daripada kegelapan kejahilan (ظلمات الجاهلية). Justeru, kemerdekaan yang hakiki tidak mungkin berlaku tanpa kesedaran ilmu. Penjajah menyedari perkara ini, lalu mereka cuba mengawal sistem pendidikan supaya rakyat tidak berfikir secara bebas.
Mereka memperkenalkan sistem sekolah elit aliran Inggeris yang menekankan kepada kepatuhan pentadbiran kolonial dan menanam sikap “anglofilia” (berjiwa Inggeris), serta melaksanakan dasar pecah dan perintah (divide and rule) antara bangsa-bangsa melalui penubuhan sekolah vernakular yang memberi kesan terhadap penghilangan pesona terhadap pemahaman identiti teras negara, manakala pendidikan agama di kampung-kampung dibiarkan mundur tanpa pembangunan.
Bahkan, segala aspek yang melibatkan bidang ilmu pencerahan seperti sejarah bangsa dan Tanah Melayu diseleweng demi mengangkat naratif ketuanan Barat yang dilihat membawa kemajuan kepada rantau tersebut, serta merendahkan martabat bangsa Melayu yang didaulatkan dengan agama Islam yang sempurna. Oleh yang demikian, di sinilah ulama dan ahli ilmu tampil dalam memainkan peranan penting sebagai benteng ilmu dan iman, serta memberi pencerahan kepada masyarakat, yang disebut dalam istilah Parsi sebagai: “Rausyan fikr” atau “Ruh pencerdasan intelektual umat”.
Peranan Ulama dalam Gerakan Kemerdekaan
Ulama di Tanah Melayu bukan sahaja berperanan sebagai pendidik agama, tetapi juga sebagai pembela tanah air. Tok Janggut di Kelantan misalnya, bangkit menentang sistem cukai British yang zalim kerana ia bertentangan dengan prinsip keadilan Islam. Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu pula memimpin rakyat menentang penjajahan kerana melihat ia sebagai ancaman terhadap kedaulatan Islam di negeri itu.
Bahkan juga, sejarah telah menyimpan peranan para penuntut ilmu yang lahir daripada universiti Islam tertua dunia, institusi Al-Azhar al-Syarif seperti Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh al-Hadi. Mereka merupakan antara tokoh reformis (mujadid) dalam kalangan Kaum Tua yang telah mencarikkan wacana dan melarikkan wahana bagi menyedarkan masyarakat tentang erti kemajuan dan kebebasan menerusi majalah al-Imam di Tanah Melayu.
Penulisan yang dinukilkan adalah hasil kesan daripada idea majalah al-Manar yang berpangkalan di kota Kaherah oleh Syeikh Rashid Redha dan Syeikh Muhammad Abduh, pelopor idea pembaharuan fikiran umat Islam yang sedang menghadapi ketenatan kerajaan Khilafah Uthmaniyah yang melindungi mereka daripada serangan penjajahan kuasa Barat.
Di samping itu, beberapa madrasah dan pondok turut menjadi pusat kelahiran idea jiwa merdeka. Pondok Tok Kenali di Kelantan melahirkan ramai murid yang bukan sahaja alim dalam agama, tetapi juga memiliki kesedaran politik yang ketika itu dilihat mengancam kedaulatan Islam dan hak orang Melayu oleh penjajah British serta golongan elit Melayu yang berjiwa Anglofilia. Misalnya, Madrasah al-Ihya al-Sharif di Gunung Semanggol, Perak menjadi markas penting yang melahirkan tokoh-tokoh dalam gerakan nasionalisme yang berteraskan Islam.
Selain itu, ketika Persekutuan Tanah Melayu hendak mencapai detik kemerdekaannya daripada jajahan British, Tunku Abdul Rahman Putra al-Hajj telah memberikan mandat kepercayaan dalam penentuan tarikhnya kepada seorang ahli falak dan sang alim, al-Marhum Syeikh Abdullah Fahim sebelum beliau berangkat ke London pada 1 Januari 1956 untuk proses rundingan kemerdekaan. Di sinilah kita melihat bahawa peranan mereka jelas membuktikan bahawa ulama adalah teras kepada kesedaran kebangsaan.
Kemerdekaan Minda: Menentang Penjajahan Baharu
Kemerdekaan fizikal tanpa kemerdekaan minda adalah sia-sia. Penjajah mungkin telah pergi, tetapi pengaruh budaya, ekonomi, dan ideologi mereka masih berakar dalam masyarakat. Ulama menegaskan bahawa penjajahan yang lebih berbahaya adalah penjajahan akal dan jiwa. Rasulullah SAW pernah bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
“Bukanlah orang yang kuat itu orang yang menang dalam bergusti, tetapi orang yang kuat adalah orang yang mampu menahan dirinya ketika marah.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini boleh difahami bahawa kekuatan sebenar bukanlah pada jasad, tetapi pada penguasaan diri dan akal. Begitu juga dengan kemerdekaan, kekuatannya bukan hanya pada bebas daripada penguasaan asing, tetapi pada keupayaan rakyat mengawal pemikiran dan hala tuju mereka sendiri.
Di sinilah ilmu memainkan peranan sebagai benteng. Rakyat yang berilmu akan mampu berfikir secara kritis, menilai maklumat dengan bijaksana, dan tidak mudah dipengaruhi oleh propaganda. Tanpa ilmu, rakyat akan mudah diperalatkan, dan kemerdekaan akan tergadai dengan mudah.
Cabaran Mengisi Kemerdekaan dengan Ilmu
Enam dekad selepas kemerdekaan, Malaysia masih berhadapan dengan cabaran besar. Penjajahan kini hadir dalam bentuk baharu — penjajahan digital, penjajahan budaya, dan penjajahan ekonomi. Generasi muda mudah hanyut dengan hiburan tanpa batasan, budaya hedonisme, serta ideologi yang bercanggah dengan nilai agama. Mereka mungkin bebas bergerak ke mana-mana, tetapi fikiran mereka masih terikat dengan pengaruh luar. Inilah yang disebut sebagai “colonial mentality” atau mentaliti terjajah. Beberapa ulama’ yang mujahid turut menyimpulkan keadaan umat hari ini sebagai “ghazwat al-Fikr” atau “serangan pemikiran”.
Di sinilah ulama masa kini memikul tanggungjawab besar. Mereka perlu memastikan pendidikan adab dan pengajian agama khususnya ilmu asas fardu ain terus relevan dengan cabaran zaman moden, tanpa mengorbankan prinsip syariah. Ulama harus menjadi jambatan antara warisan ilmu tradisi dan keperluan ilmu kontemporari. Mereka perlu membimbing generasi muda untuk melihat ilmu bukan sekadar alat mencari pekerjaan, tetapi sebagai teras membina tamadun dan sesebuah peradaban Islam.
Ilmu, Ulama dan Masa Depan Kemerdekaan
Kemerdekaan yang diperjuangkan oleh generasi terdahulu adalah amanah yang mesti dijaga. Tanggungjawab generasi kini bukan hanya mempertahankan kedaulatan negara, tetapi juga mengisi kemerdekaan dengan pembangunan ilmu dan akhlak. Ulama perlu terus menjadi suara hati nurani masyarakat, mengingatkan pemimpin supaya tidak menyalahgunakan kuasa, dan mendidik rakyat agar tidak leka dengan nikmat kebebasan.
Jika rakyat Malaysia berpegang teguh kepada ilmu dan bimbingan para ulama, maka kemerdekaan akan terus subur. Namun, jika kita lalai, kemerdekaan boleh tergadai walaupun tanpa kehadiran penjajah bersenjata. Inilah hakikat yang perlu difahami: “kemerdekaan bukan titik akhir perjuangan, tetapi permulaan tanggungjawab besar untuk memakmurkan negara dengan adil dan berilmu”.
Penutup
Sebagai penutup, kemerdekaan Malaysia tidak boleh dilihat hanya dari sudut politik semata-mata. Bahkan melalui hasil kesedaran ilmu dan perjuangan ulama yang membangunkan jiwa rakyat. Ulama telah bergerak bersama para pemimpin masyarakat keluar daripada kegelapan penjajahan jiwa menuju cahaya kebebasan yang sebenar; iaitu kesedaran menjadi hamba Sang Pencipta. Oleh itu, generasi baharu sewajarnya menyambung perjuangan itu dengan menguasai ilmu, memelihara iman, dan menghias diri dengan akhlak yang mulia dalam mencapai erti ‘ubudiyah (pengabdian kepada Tuhan) dengan sebenar-benar makna.
Kemerdekaan adalah amanah. Amanah hanya akan terpelihara dengan ilmu yang benar, bimbingan ulama yang ikhlas, dan umara yang bijaksana.
Ustaz Izz Mirza Bin Kamanusi,
Mahasiswa Tahun 2, Kuliah Usuluddin, Universiti Al-Azhar, Kaherah.