
Setiap naluri manusia menghendakkan kebebasan dan kemerdekaan, tidak kira bangsa atau negara. Apabila sesebuah negara dijajah, maka akan lahirlah tubuh-tubuh yang akan bangkit untuk membebaskan anak bangsa dari dijajah. Sangat bersyukur negara kita Malaysia telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan kita dapat menikmatinya sehinggalah ke hari ini.
Kemerdekaan bukanlah dicapai dengan mudah, akan tetapi dengan keringat dan usaha nenek moyang kita pada zaman dahulu, pahlawan- pahlawan Melayu seperti Mat Kilau, Tokku Paloh dan ramai lagi. Masyarakat Melayu Islam ketika itu mengorbankan jiwa dan raga mereka dalam mempertahankan budaya, agama dan tanah air.
Islam sendiri mengangkat nilai kebebasan. Sebagaimana kisah pembukaan Kota Makkah oleh Baginda Rasulullah Saw dan para Sahabat R.A dari penguasaan kaum kafir Quraisy. Peristiwa ini merupakan salah satu peristiwa besar dan pencapaian yang bermakna dalam sejarah Islam itu sendiri. Ia bukan hanya membebaskan tanah suci mekah dari kaum kafir Quraisy bahkan juga membebaskan umat Islam dari cengkaman dan penindasan kaum kafir Jahiliyyah ketika itu.
Adakah Kita Merdeka Dengan Sebenar-Benarnya?
Jika dilihat secara zahirnya mungkin dapat kita katakan bahawa negara Malaysia ini sudahpun merdeka dari penjajah. Mereka sudah keluar dari negara kita sejak tahun 1957 lagi. Akan tetapi sejak awal kemerdekaan sehinggalah hari ini, merdeka hanyalah pada fizikal sahaja bukan pada sistem kehidupan secara total. Negara kita masih belum keluar sepenuhnya dari peninggalan dan budaya Barat.
Cuba kita lihat negara ini dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan budayanya, sebenarnya kita masih berlandaskan kepada sistem barat yang telah disusun.
Merdeka yang sebenar adalah bebas dari pemikiran dan budaya penjajah, bebas dalam menentukan halatuju negara tanpa ada campur tangan negara luar. Ianya merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan usaha yang berterusan.
Apakah peranan kita?
Kita mestilah celik akan realiti dunia yang berlaku kini. Di antara perkara yang perlu kita fahamkan masyarakat adalah hakikat sistem dunia yang berlaku sekarang (New World Order). Ia bukanlah suatu nama yang asing lagi di telinga kita dan telah jelas terbukti akan kewujudannya. Makan solusi kepada perkara tersebut adalah dengan penolakan secara menyeluruh terhadap nilai-nilai yang tidak sesuai dengan budaya Melayu dan Islam disamping mengangkat semula nilai-nilai bangsa yang telah lama wujud dalam masyarakat, samaada dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya.
Apabila sudah difahami dengan jelas hakikat ini, maka bermulalah tugas kita sebagai umat Islam dan masyarakat Malaysia dalam menjelaskan kepada masyarakat tentang nilai kebebasan yang sebenar di sisi Islam. Tidak dapat dinafikan bahawa ini adalah proses yang panjang bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap pentingnya mempertahankan identiti agama dan bangsa kita sebagai umat Islam.
Sistem pemerintahan yang sebenar adalah dengan menjadikan Al Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai rujukan utama, bukanlah ideologi barat yang mengandungi pemikiran menyesatkan seperti pluralisme, liberalisme, sekularisme dan hedonisme. Ketahuilah bahawa mana-mana kuasa luar yang menguasai sistem dunia dan negara ini tidak akan bertahan lama dan akan berubah, kerana itulah firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 26:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Mari sama-sama kita tanamkan slogan ini: ‘Jati Diri Merdeka Asas Negara Unggul’, ini bersempena “Kempen Kemerdekaan ISMA 2024”. Berdasarkan kepada latar belakang sejarah, dapat kita fahami bahawa jati diri kebangsaan itu tertegak atas tiga dasar penting iaitu :
1. Islam sebagai asas yang menjadi nadi menyatukan bangsa Melayu dan membentuk dasar kehidupan masyarakat berbilang bangsa.
2. Identiti Melayu Islam yang merupakan gabungan nilai, adat, budaya, dan agama Islam yang membentuk jiwa dan watak masyarakat melalui cara hidup, undang-undang dan hubungan sosial.
3. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menyatukan rakyat pelbagai kaum dan menjadi simbol kedaulatan negara yang membentuk identiti kebangsaan.