
Hari ini masyarakat dunia dikejutkan dengan pembunuhan genosid yang tidak berkesudahan di bumi Gaza oleh sebuah bangsa diatas alasan mempertahankan kemanusiaan, hak asasi manusia dan berbagai- bagai lagi alasan bangsa itu. Namun, masyarakat dunia ketika ini mula menyedari bahawa tindakan mereka hanyalah dusta dan hipokritnya pemimpin dan pentadbir dunia pada hari ini.
Itulah hakikat kefahaman bagi golongan yang kufur kepada Allah Taala. Mereka tidak mempunyai tasawur dan pegangan hidup yang jelas, malah pegangan mereka hanyalah terikat dengan hawa nafsu dan materialistik semata.
Sebaliknya, pegangan sistem Islam adalah berteraskan tauhid kepada Allah Taala yang Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana, bermakna setiap aspek kehidupan wajib menjulang Islam sebagai kuasa dunia tertinggi demi keamanan dan kesejahteraan kesuluruhan manusiadan makhluk lain. Itulah peradaban Islam yang pernah dilalui oleh masyarakat dunia sekitar 100-200 tahun yang lepas.
3 Mac 2024 genap 100 tahun kita berasa hampa, kecewa dan berdukacita dengan kejatuhan sistem khilafah terakhir, iaitu Khilafah Uthmaniyah pada tahun 1924M. Dari abad ke abad, tahun ke tahun dan hari ke hari kita melalui tarikh yang berduka ini dan masih lagi memohon seribu harapan untuk mengembalikan dunia ini kembali berlandaskan ketamadunan Islam yang sebenar. Hakikat yang perlu dijiwai dengan lebih mendalam adalah kewujudan Khilafah Uthmaniyah bukanlah satu zaman yang wujud secara asing dan berbeza dari khilafah-khilafah yang sebelumnya.
Kesemuanya adalah penyambungan mata rantai perjuangan zaman pemerintahan semenjak kewafatan Nabi saw, Saidina Abu Bakar As Siddiq, zaman Khulafa’ Ar- Rasyidin, kemudian diikuti dengan pemerintahan Bani Umayyah, Abbasiyah dan seterusnya kerajaan Ayyubiyah di Mesir, pemerintahan Islam di Sepanyol, Dinasti Saljuk Rum dan seterusnya Mamalik di Mesir hingga berakhir dengan zaman Khilafah Uthmaniyah di Turki.
Satu perbezaan ketara ialah Khilafah Uthmaniyah Turki merupakan satu pemerintahan yang merangkumi bahagian dunia yang paling besar dan paling panjang dalam sejarah Islam. Ia bermula pada tahun 1299 dan berakhir pada tahun 1924. Tempoh yang sangat panjang sebenarnya – 625 tahun, meliputi keluasan 23 juta km persegi dan merangkumi lebih dari 30 buah negara. Maka, ia bukanlah satu usaha yang mudah untuk didirikan.
Persoalannya, adakah kita mahu bersama-sama mendokong perjuangan untuk menyambung mata rantai zaman khilafah yang seterusnya bagi mengangkat Kembali Islam sebagai puncak tertinggi ? Atau adakah kita mahu membiarkan kehidupan masyarakat dunia ini dengan ditenggelami dengan kejahilan, kesengsaraan dan berpura-pura memiliki kebahagiaan ?
Kini berlalu 100 tahun dari fasa pertama kejatuhan khilafah. Hakikatnya, Allah Taala masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk mengembalikan ketamadunan Islam pada 100 tahun pada fasa kedua ini, iaitu fasa kebangkitan sehingga ke tahun 2121M. Ingatlah, perjuangan kita masih belum terhenti dan berakhir untuk kita kembali mentadbir dunia, ini kerana Allah Taala telah berjanji akan memberikan pertolongan dan kemenangan kepada umat islam di akhir zaman kelak berdasarkan ayat 32-33 di dalam surah At-Taubah yang telah berfirman :
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian). Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”.
Penguasaan dunia bukanlah sesuatu perkara mudah yang hanya datang dengan sekelip mata, duduk diam tanpa berfikir, selesa dengan realiti pemikiran masyarakat semasa dan dilimpahi dengan kemaksiatan yang semakin berleluasa. Segala masalah yang berlaku menjadi punca lambatnya pertolongan Allah keatas umat-Nya. Ia perlu diselesaikan bermula dari asas kefahaman Islam yang sebenar kepada seluruh lapisan masyarakat. Seperti, kefahaman akidah yang sahih, ibadah berlandaskan syariat dan akhlak keperibadian mukmin yang sejati.
Selain itu, dunia kita dihambat dengan pelbagai pemikiran yang bertentangan dengan syariat dan akidah sehinggakan umat Islam terkesan secara tidak sedar. Antaranya, pemikiran liberal yang melahirkan sikap individualistik, tidak sensitif dengan dosa dirinya dan orang sekeliling, serta yang paling teruk adalah membiarkan dan meninggalkan umat Islam ditindas dan diseksa oleh musuh-musuh demi mempertahankan periuk nasi sendiri dan ditenggelami dengan habuan dunia. Sepertimana yang berlaku di Gaza, Ughyur, India dan sebagainya masih lagi menunggu-menunggu suara pertolongan dari umat Islam.
Sepertimana yang dilakukan oleh junjungan Nabi Saw ketika memulakan fasa dakwah di Mekah, berhadapan dengan sistem jahiliah dan kuasa besar dunia yang rosak dan teruk. Baginda Saw berjaya melahirkan para sahabat yang mempunyai asas iman dan akhlak yang kukuh. Sehinggakan bilangan mereka ketika menyertai peperangan Badar Kubra seramai 313 sahabat dalam masa lebih kurang 3-5 tahun.
Walaupun bilangan itu tidaklah terlalu ramai, tetapi keberhasilan itu melahirkan kepimpinan untuk meneruskan dakwah Islam ke serata dunia sehingga hari ini. Hakikatnya, puak kuffar telah mengkaji dan menganalisa cara Baginda Saw memimpin dunia untuk mengetahui kelemahan generasi kini, bahkan mereka sebenarnya melakukan cara yang sama apa yang dilakukan oleh Baginda Saw. Sungguh, musuh Islam tidak akan pernah berhenti dalam memusuhi dan memadamkan dakwah Islam.
Akhir kata, pasakkan cita-cita ingin menjadi seorang muslim yang mempunyai iman dan jiwa yang kuat serta dipenuhi dengan agenda besar dalam setiap aspek kehidupan. Tingkatkan keilmuan, jauhi kelalaian dunia yang hanya berpura-pura dan tinggalkan pergaduhan serta perpecahan yang hanya merugikan ukhuwah sesama muslim.
Rakyat Gaza telah menunjukkan keimanan & keyakinan mereka terhadap janji kemenangan Allah demi mengembalikan ketamadunan Islam walaupun mereka bertahun-tahun ditindas dan dizalimi. Itulah peranan mereka untuk agama Allah Taala ini, walau usahanya sekecil-kecil perkara. Saudara kita sudah lama bermula dan kita sepatutnya mengorak langkah bersama dengan mereka di Gaza demi membebaskan manusia daripada perhambaan kepada manusia kepada perhambaan menuju Allah Taala.
لسنا بخير حتى نحرر الأقصى معا
Wallahu A’alam
#100tahun
#IsmaMesir
#JiwaKuatPimpinMasyarakat