
Saban tahun kita menyambut Hari Kemerdekaan Negara pada tanggal 31 Ogos. Tetapi persoalannya, merdekakah negara kita?
Merdekanya sesebuah negara ialah apabila negara tersebut mampu membina generasi anak bangsa mereka dengan acuan kita sendiri. Persoalannya, merdekakah negara kita?
Tidakkah hari ini kita melihat generasi anak bangsa kita hidup rosak? Masa mereka dipenuhi dengan pelbagai bentuk hiburan merosakkan jiwa berbentuk lagu, movie, game, drama dan fesyen. Adakah semua hiburan ini ialah acuan yang kita mahukan, ataupun ianya datang daripada luar dengan niat untuk merosakkan?
Hedonisme melampau seperti ini membentuk satu sikap baru dalam diri masyarakat kita. Ia menjadikan anak bangsa kita merasa normal terhadap maksiat, sedangkan generasi Qurani yang kita mahu lahirkan ialah generasi yang sensitif terhadap dosa dan sentiasa melaksanakan amar makruf nahi munkar setiap masa.
Firman Allah SWT :
كُنتُمۡ خَیۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ…
“Kamu ialah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia, kamu mengajak manusia melakukan kebaikan dan melarang manusia melakukan maksiat, serta kamu beriman kepada Allah SWT….” (Ali Imran : ayat 110)
Secara zahirnya, negara kita kelihatannya seperti telah “merdeka” daripada penjajahan. Kita dibenarkan solat berjemaah di masjid setiap hari, azan masih boleh berkumandang di seluruh pelusuk negara, solat jumaat masih boleh dilaksanakan setiap minggu, agama Islam masih lagi agama persekutuan bagi negara ini, pemimpin negara masih ramai yang muslim dan banyak lagi bukti betapa “merdeka”nya tanah air kita.
Tetapi hakikatnya negara kita masih jauh lagi dari erti ‘kemerdekaan’ yang sebenarnya. Selama ini, segala perancangan negara masih dicatur oleh orang asing. Penjajah mungkin sudah pergi 66 tahun dahulu. Tetapi mereka meninggalkan sistem, ideologi dan kroni mereka kepada kita untuk terus merosakkan minda anak bangsa kita serta generasi seterusnya.
Minda masyarakat kita masih dibentuk dengan ideologi luar. Kita ditanam dengan cara fikir yang Melayu ini lemah, pemalas, tidak cemerlang dan suka berpecah. Kita juga dididik supaya merasa perlunya ‘bergantung hidup’ pada kuasa besar dunia sehingga menggadaikan prinsip-prinsip Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Ini semua kesan daripada ideologi musuh ke atas orang Melayu berdekad lamanya. Menjadikan orang Melayu semakin hari semakin hilang rasa izzah dalam diri mereka, menyebabkan kebangkitan Islam di tanah air kita ini tertunda lama.
Negara kita masih belum ada falsafah ekonomi yang tersendiri, sehingga mampu utk berdiri sendiri dan tidak lagi perlu bergantung dengan kuasa luar. Sistem politik masih menggunakan sistem ciptaan musuh. Silibus pendidikan masih dicedok daripada falsafah pendidikan Barat yang tidak menekankan sudut pembangunan rohani dalam diri pelajar. Masalah sosial belia semakin hari semakin membimbangkan kerana tiadanya perancangan besar negara untuk membentuk ummah yang bermaruah dan mulia.
Hakikatnya, Semakin hari negara kita Malaysia semakin jauh daripada takrif kemerdekaan yang sebenar. Masyarakat semakin rosak dengan ideologi barat. Maka, jelaslah bahawa perjuangan memerdekakan negara ini masih panjang.
Sempena kemerdekaan kali ke-66 tahun ini, marilah kita bersama mengambil peranan utama buat diri kita. Langkahan untuk kita lebih cakna akan isu negara. Langkah bermula untuk kita lebih prihatin terhadap nasib agama dan bangsa. Titik tolak pertama yang akan mengubah hidup individualistik kita menjadi hidup seorang khalifah yang memikirkan masa depan umatnya.
Tepuk dada tanyalah diri.
Wahai diri, Dimana aku boleh menyumbang bakti?