
Kedatangan Awal Muharram sebuah peristiwa agung yang dinanti-natikan seluruh umat Islam. Walaupun ada sebahagian ulama’ yang tidak menerima dan meletakkan tarikh hijrah kepada tarikh yang tertentu, namun ada sebahagian ulama yang menerima penghijrahan adalah pada 1 Muharram.
Oleh itu, seorang muslim perlu menyedari bahawa kisah penghijrahan ini merupakan sebuah kisah agung yang perlu diingati, dihayati dan sepatutnya menjadi pengajaran buat seseorang muslim. Ia menjadi bukti bahawa tamadun Islam pernah menjadi kuasa besar. Malah, menjadi sebuah peradaban yang terbaik diiktiraf oleh majoriti pengkaji dan sejarawan barat berbanding dengan peradaban yang lain.
Sekiranya kita meneliti bagaimana asas peradaban Islam ini dibina, ia bukanlah bermula selepas kita berjaya mendapat sebuah negara Madinah itu, tetapi perjalanan ini telah bermula semenjak Nabi SAW berada Mekah iaitu fasa menyebarkan sistem berasaskan tauhid dan keimanan kepada masyarakat Mekah selepas menerima wahyu dari Allah Taala.
Sehubungan dengan itu, perjalanan hijrah ini merupakan sebuah proses yang panjang dan dilengkapi dengan pelbagai ujian, bukan semudah yang kita sangka. Hal ini kerana, ketika itu kuasa besar dunia masih dipelopori oleh empayar Rom dan Parsi, bahkan di Mekah umat muslimin tidak memiliki sebarang kekuatan atau bilangan yang ramai, hanyalah Baginda SAW dan beberapa bilangan sahabat sahaja.
Lantaran itu, semua proses yang dilalui tidak lari daripada fasa kesusahan. Ada yang pernah melalui fasa diseksa dengan teruk, dibunuh dengan kejam, dihina, diboikot dan sebagainya. Namun, segala penderitaan yang dihadapi tidak pernah sedikit pun melemahkan iman dan keyakinan mereka untuk meneruskan perjuangan untuk menyelamatkan manusia daripada kegelapan & jahiliyah kepada cahaya kefahaman iman & Islam.
Kini, kita dapat perhatikan bahawa sebelum Nabi SAW menghasilkan sebuah negara, keutamaan Baginda SAW ialah membina rijal dengan nilai iman dan mempunyai agenda yang jelas yang mampu meneruskan perjuangan untuk membumikan “iman” kepada keseluruhan pelusuk dunia.
Rijal utama yang dibina Baginda SAW ialah Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan keluarga terdekat baginda. Kemudian, melalui Abu Bakar As-Siddiq pula membina 6 rijal yang lain dan begitulah seterusnya, sehinggakan setiap qabilah dan kaum di Mekah mempunyai seseorang yang sudah menerima Islam daripada sentuhan para sahabat.
Kemudian, setiap sahabat yang sudah menerima Islam akan berkumpul di satu tempat bersama dengan Baginda SAW untuk mendapatkan bimbingan & pentarbiahan dari Baginda SAW secara langsung. Ini antara proses yang dilaksana sejak zaman awal fasa Mekah.
Sebahagian riwayat juga mengatakan sebenarnya fasa Islam di Madinah juga telah bermula, iaitu Baginda SAW mengutuskan beberapa sahabat sebagai misi untuk berdakwah di Madinah. Sebagai contoh, Mus’ab Ibn Umair R.A diutus ke Madinah dan hasilnya telah berjaya mengetuk semua pintu rumah di Madinah.
Begitu juga, ada beberapa peluang Baginda SAW bertemu dengan arab Madinah di Mekah. Antaranya, sewaktu pembukaan besar-besaran bagi pedagang seluruh tanah arab ke Mekah. Baginda SAW sempat berdialog dan berdakwah dengan mereka, sehingga mereka menerima hidayah dengan terbuka. Begitulah, sebahagian proses dan tindakan Nabi SAW untuk mengembangkan usaha dakwah. Tetapi bilangan waktu itu masih juga sedikit, ia mampu dikira dengan jari.
Hasil dari fasa Mekah yang dahsyat itu melahirkan rijal-rijal yang kuat imannya, faham agenda dan tujuan hidupnya serta mampu menyambung risalah ini dengan sebaiknya walaupun sudah ketiadaan Nabi SAW.
Hakikatnya, semua itu demi Al-Haq dan kebenaran. Secara pastinya kebenaran itu mutlak milik Allah SWT, sesiapa yang memikul kebenaran tauhid ini dengan sepenuh-penuh keimanan & keyakinan, maka ia bukanlah satu perkara yang mustahil untuk berhasil.
Oleh itu, kefahaman iman yang jelas adalah tiang paling utama untuk dibina sebelum membina tiang-tiang yang lain. Kemudian diikuti dengan agenda hidup yang jelas, seterusnya usaha merealisasikan peradaban yang kukuh.
Lantaran itu, konsep Iman yang kita fahami sepatutnya tidak terhad kepada ibadah-ibadah khusus dan juga zikir munajat ataupun nilai-nilai murni sahaja, ia merangkumi kepada keseluruhan aspek kehidupan kita. Ia termasuk politik, akhlak masyarakat, ekonomi dan perkara yang lain. Tiada erti mengimani sebahagian dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain.
Pengajaran kisah hijrah yang kita boleh ambil sehingga ke hari ini ialah perubahan hidup seseorang dengan cahaya iman dan hidayah dari Allah Taala bukanlah dengan kemajuan teknologi yang akhirnya merosakkan nilai manusiawi.
Penghijrahan yang dituntut hari ini bukan berpindah tempat, ia adalah berpindah meninggalkan cara hidup jahiliyah, tabiat dan sikap yang buruk kepada cara hidup yang beriman, sikap dan akhlak yang baik.
Sepertimana mafhum hadith Nabi SAW ialah :
والمھاجر من ھاجر ما نھى الله عنه …
” Orang yang berhijrah itu sesiapa yang berhijrah meninggalkan perkara yang dilarang oleh Allah Taala. “
Meninggalkan jahiliyah adalah satu amal dan tindakan yang sukar, ia perlu dilalui dengan banyak proses dan suasana hidup yang harmoni serta bimbingan illahi. Namun, ganjarannya sangat besar di sisi Allah Taala.
Selamat menyambut Awal Muharram/ Hijrah 1445H.
Semoga kita sentiasa memperbaharui, membesarkan niat dan iman, agar setiap langkah dan perilaku kita di dunia ini diterima oleh Allah Taala sebagai bekalan besar kita untuk menuju akhirat kelak.
Wallahu’Aalam