
Apabila kita sebut berkenaan kejayaan pasti akan terbayangkan pencapaian keputusan yang cemerlang, kerjaya yang baik, keluarga bahagia dan sebagainya. Kebanyakan manusia tidak lari dari perkara tersebut bahkan mendambakan yang demikian. Bagi orang awam nilai kejayaan mereka adalah apabila berjaya mendapat kerjaya yang memuaskan dan mempunyai keluarga yang bahagia pada umumnya, bagi seorang pelajar pula kejayaan bagi mereka adalah apabila mendapat keputusan yang cemerlang sehingga mampu menitiskan air mata ibu bapanya Ketika di hari graduasi.
Secara zahirnya itulah penilaian kejyaan dengan mata kasar manusia, tetapi apakah kejayaan sebenar yang dikehendaki oleh Islam ? Kejayaan seseorang mukmin itu sepertimana di sebut dalam firman Allah SWT dalam Surah Al- Mukminun :
قَدۡ أَفۡلَحَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ﴿ ١ ﴾ ٱلَّذِینَ هُمۡ فِی صَلَاتِهِمۡ خَـٰشِعُونَ ﴿ ٢ ﴾ وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَنِ ٱللَّغۡوِ مُعۡرِضُونَ ﴿ ٣ ﴾ وَٱلَّذِینَ هُمۡ لِلزَّكَوٰةِ فَـٰعِلُونَ ﴿ ٤ ﴾ وَٱلَّذِینَ هُمۡ لِفُرُوجِهِمۡ حَـٰفِظُونَ ﴿ ٥ ﴾ إِلَّا عَلَىٰۤ أَزۡوَ جِهِمۡ أَوۡ مَا مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُهُمۡ فَإِنَّهُمۡ غَیۡرُ مَلُومِینَ ﴿ ٦ ﴾ فَمَنِ ٱبۡتَغَىٰ وَرَاۤءَ ذَ لِكَ فَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡعَادُونَ ﴿ ٧ ﴾ وَٱلَّذِینَ هُمۡ لِأَمَـٰنَـٰتِهِمۡ وَعَهۡدِهِمۡ رَ عُونَ ﴿ ٨ ﴾ وَٱلَّذِینَ هُمۡ عَلَىٰ صَلَوَ تِهِمۡ یُحَافِظُونَ ﴿ ٩ ﴾ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡوَ رِثُونَ ﴿ ١٠ ﴾ ٱلَّذِینَ یَرِثُونَ ٱلۡفِرۡدَوۡسَ هُمۡ فِیهَا خَـٰلِدُونَ ﴿ ١١ ﴾
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya, dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia, dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu, dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas, dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya, dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.
Timbul pula persoalan kepada kita dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, apakah kejayaan yang ingin dicapai selama melaluinya dan bagaimanakah caranya untuk mencapai nikmat yang sebenar dalam menjalani bulan Ramadhan?
Apabila kita membincangkan tentang rasa ataupun nikmat, maka tidak dapat tidak ianya kembali kepada hati manusia itu sendiri, adakah mereka bersyukur dengan nikmat yang diberi atau mengeluh gundah gulana. Kerana manusia yang tidak bersyukur tidak akan pernah merasakan nikmat yang diberi malah disebut sebagai kufur sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an Naml :
هَٰذَا مِنْ فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.”
Berbalik kepada apa yang ingin dikecapi pada bulan Ramadhan. Berjayanya seseorang itu di dalam melalui bulan Ramadhan dapat diukur apabila berakhirnya bulan Ramadhan. Adakah selepas berakhirnya Ramadhan sikap dan ibadahnya masih sama seperti sebelum Ramadhan atau bertambah baik, berkurang melakukan dosa atau bertambah kemungkaran yang dilakukan. Kerana itulah dalam Hadith Nabi SAW menyebut :
“Berapa ramai orang yang berpuasa, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya itu kecuali hanya rasa lapar dan dahaga sahaja. Dan berapa ramai orang yang solat malam, akan tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada solat malamnya itu kecuali hanya terbatas kepada berjaganya sahaja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Persoalan kedua, adakah cukup sekadar melakukan yang wajib sahaja pada bulan Ramadhan dapat mencapai kejayaan yang sebenar ?
Mungkin kita pernah dengar pepatah melayu menyebut “Usaha Tangga Kejayaan”, kerana kejayaan tidak mungkin diperolehi tanpa usaha. Dengan usahalah menjadikan sesuatu kejayaan itu dapat dicapai. Kita boleh istilahkan usaha sebagai perkara yang sunat dan tangga pula perkara yang wajib. Untuk meneyempurnakan sesuatu kewajiban, ianya berhajat kepada tambahan perkara sunat. Maka dalam mencapai hakikat ramadhan ia perlu kepada usaha yang lebih. Dan ketahuilah bahawa kejayaan yang ingin dicapai tak lain tak bukan adalah pengampunan dan rahmat dari Allah SWT jua. Ia merupakan suatu perkara yang mahal, tidak boleh tidak dicapai dengan sebuah bayaran yang mahal.
Dalam menjalankan kewajiban puasa di bulan Ramadhan, terutamanya sebagai penuntut ilmu, tidak cukup hanya berpuasa menahan lapar dan dahaga. Ia memerlukan tambahan perkara sunat seperti tilawah al Quran, tahajjud, beriktikaf di masjid, meninggalkan perkara lagha, bersedekah, dan sebagainya.
Kesemua ini memerlukan kesungguhan, tidak dinafikan pula ianya membawa kepada keletihan anggota jasmani. Akan tetapi perkara sunat inilah yang akan menjadi makanan kepada rohani seseorang mukmin.
Persoalan terakhir adalah bagaimana untuk mencapai nikmat yang sebenar dalam bulan Ramadhan yang mulia ini ?
Secara umumnya, manusia tidak akan menghargai perkara yang dicapai secara mudah atau apa yang diberikan secara percuma kepada mereka, mungkin mereka akan gembira dengan perkara yang diperolehi tapi ianya hanya bersifat sementara dan mana mungkin untuk mereka merasakan nikmat di dalamnya. Berbeza bagi mereka yang memperolehinya dengan usaha dan tanggungjawab, kesakitan dan kepenatan, setiap usaha mereka akan diberikan ganjaran yang setimpal. Apabila kejayaan berjaya dicapai, ketika itu mereka akan mengenang kembali setiap pengorbanan, usaha, kesusahan yang dilalui bagi mencapai kejayaan tersebut.
Begitulah nilai sebenar yang perlu difahami dalam usaha mencari nikmat dan kejayaan, rahmat dan pengampunan Allah swt di bulan Ramadhan ini. Ia tidak akan dicapai dengan kerehatan melainkan dengan usaha yang lebih, amalan yang meletihkan, serta hati yang ikhlas untuk meninggalkan maksiat kerana Allah swt.
Sabda Nabi SAW :
“Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya sendiri kecuali ibadat puasa kerana puasa adalah untuk-Ku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Puasa itu adalah perisai, apabila suatu hari salah seorang antara kalian berpuasa, maka janganlah dia berkata kotor dan jijik. Apabila ada seseorang yang mencelanya atau memusuhinya, maka hendaklah dia berkata, ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.” (Hadis Muttafaqun ‘Alaihi).
Oleh : Muhammad Al Fateh Bin Mohammadin