
Berbaki lagi 6 hari lagi untuk tiba bulan Ramadhan, terasa bahangnya bulan yang telah Allah jadikan penghulu segala bulan, terhimpun padanya segala kebaikan dan kelebihan.
Jadi apa yang perlu kita lakukan ?
1. Menzahirkan kegembiraan yang paling besar akan ketibaan bulan mulia ini kerana inilah pintu yang membuka segala pintu-pintu kebaikan yang tersimpan didalamnya.
Firman Allah taala :
قُلْ بِفَضْلِ اللّٰهِ وَبِرَحْمَتِهٖ فَبِذٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوْاۗ هُوَ خَيْرٌ مِّمَّا يَجْمَعُوْنَ
Katakanlah (Muhammad), “Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, 58)
Sebagaimana Rasulluah s.a.w. bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan, dan menyeru semua umatnya untuk menzahirkan keseronokan untuk bertemu bulan ini, menghidupkan dalam diri bahawa kita akan melalui bulan yang terhimpun kelazatan nikmat ibadah.
Sabda Rasulluah s.a.w. :
“Telah datang kepada kalian Ramadhan, bulan yang diberkahi. Allah mewajibkan atas kalian berpuasa padanya. Pintu-pintu syurga dibuka padanya. Pintu-pintu Jahim (neraka) ditutup. Syaitan -syaitan dibelenggu. Di dalamnya terdapat sebuah malam yang lebih baik dibandingkan 1000 bulan. Siapa yang dihalangi dari kebaikannya, maka sungguh ia terhalangi.” (HR. Ahmad, shahih).
Bayangkan Allah memilih kita untuk menjadi tetamu bulan istimewa ini dan kita telah dikurniakan kesihatan dan afiyah, nikmat ketenangan hati serta kelapangan jiwa, dan Allah memilih kita terus bernafas dan hidup untuk melalui Ramadhan kali ini. Betapa indahnya nikmatMu !
2. Memperbaiki hubungan dengan Allah. Sebelum melangkah ke bulan mulia ini,kita perlu melazimi taubat, banyakkan memohon keampunan pada Allah, bertaubat dari hati yang jujur, serta mengosongkan diri dari perkara yang melalaikan kita dari mengingati Allah. Ambillah beberapa ruang waktu untuk mengulangkaji sedikit tentang kelebihan Ramadhan, hukum-hukum yang ada padanya, membaca akan ganjaran dan jaminan dari Allah untuk hambanya. Ini untuk membangkitkan keazaman dan kesungguhan pada diri sekaligus mempersiapkan hati kita untuk buat yang terbaik.
3. Menulis matlamat dan target yang ingin kita capai sepanjang Ramadhan. Berapa juzuk alquran yang kita ingin habiskan dalam sehari, amal ibadah yang lain seperti solat sunat, sedekah, zikir, bacaan ilmiah dan lain-lain. Jadikan Ramadhan sebagai titik perubahan untuk buang perangai buruk atau tabiat yang kita ingin ubah dan letakkan matlamat untuk sikap yang kita mahu terapkan dalam kehidupan. Jika kita tahu betapa hebatnya ganjaran yang ada pada bulan Ramadhan sudah pasti kita tidak akan mensia-siakan setiap saat dan akan membuat persiapan yang terbaik.
Oleh itu, menghadirkan rasa gembira unuk bertemu bulan Ramadhan adalah bukti keimanan, juga kesan hati yang bersih dari sebarang penyakit. Ketahuilah, kegembiraan ini kerana Allah dan Dia yang mencampakkan ke dalam jiwa-jiwa yang terpilih. Maka, beruntunglah. Bukan kegembiraan yang dibuat-buat sebaliknya kegembiraan yang membahagiakan.