Blog Isma Mesir

Bersedialah, Kita di bulan Rejab !

February 15, 2023

Suatu ketika ada satu keluarga ingin mengembara ke suatu destinasi yang begitu jauh ; yang mengambil masa selama 5 jam perjalanan.

Dalam perjalanan tersebut, keluarga itu mengalami kelaparan, kurang bekalan makanan yang cukup. Pemandu pun mula mengantuk. Anaknya mula mengadu : “Ayah, laparlah, boleh ke nak belikan nasi ayam? Kata ayahnya : Boleh, ayah pun lapar juga ni, tapi R&R dalam 1km lagi ya, nanti ayah bagitau kalau dah sampai”.

“Baik Ayah”, Sabar anaknya kerana kelaparan.

“Sudah sampai”!! Anaknya pun berasa seronok bila sampainya ke R&R tersebut.

Keadaan anak itu berasa seronok kerana inilah peluang keemasan untuk dia mengisi perutnya sebelum bergerak ke destinasi seterusnya. Seolah-olah, anak itu akan berasa rugi kalau dia terlepas perhentian tersebut. Boleh jadi kalau ayahnya itu terlepas R&R menyebabkan keadaan tubuh badannya lemah dan tidak sihat. Ayahnya juga akan tertidur ketika memandu.

Rentetan dari kisah tersebut merupakan gambaran bulan Ramadan, sebuah destinasi tahunan bagi setiap mukmin. Kedatangan Ramadan seumpama perhentian tahunan yang bernilai untuk menyembuhkan keimanan dan hati kita setelah melalui 11 bulan yang lain, semata-semata untuk menuju ke destinasi yang terakhir iaitu untuk kembali mengabdikan diri kepada Allah Taala.

Allah SWT Yang Maha Pemurah ini mengkhususkan bulan Ramadan sebagai bulan yang istimewa buat para hambanya.

Semestinya bagi mukmin, kedatangan bulan Rejab adalah sepatutnya menggambarkan sebuah bulan untuk kita menanam benih-benih niat & keazaman yang besar demi menghasilkan buah-buahan yang bernilai di bulan Ramadan. Sepertimana ulama salafussoleh pernah berkata.

Daripada Ibn Rejab Al-Hambali RHM di dalam Lataif Al- Maarif :

قال: شهر رجب مفتاح أشهر الخير والبركة

قال أبو بكر الوراق البلخي: شهر رجب شهر للزرع، وشعبان شهر السقي للزرع، ورمضان شهر حصاد الزرع

Beliau berkata: “Bulan Rejab adalah kunci kepada bulan-bulan kebaikan dan keberkatan”.

Abu Bakar Al-Warraq Al-Balkhi RHM berkata: “Bulan Rejab adalah bulan menabur, Sya’ban adalah bulan menyirami tanaman, dan Ramadhan adalah bulan menuai tanaman”.

Berikutan dengan ungkapan tersebut telah menggambarkan sebuah kehidupan ulama terdahulu yang memuliakan bulan Rejab ini sebagai kunci dan waktu untuk menanam biji benih.

Apakah yang dimaksudkan dengan bulan menabur?

Kalam tersebut telah memberikan panduan kepada kita untuk menghasilkan natijah bulan Ramadan yang bermakna, melalui 3 fasa berikut :

  1. Fasa menabur benih
  2. Fasa penyiraman tanaman.
  3. Fasa penuaian tanaman.

Ada sebahagian ulama’ juga mengungkapkan perkataan biji itu dengan  “شهر البذر” bermakna dengan bulan benih. Ulama mengibaratkan biji benih itu sebagai niat & keazaman untuk memulakan amal di bulan rejab.

Di antara perkara yang paling penting ialah seseorang itu perlu mempersiapkan diri dengan amal soleh sebelum bulan Ramadhan tiba, sepertimana para ulama menjadikan bulan rejab sebagai permulaan persiapan yang khusus untuk bulan Ramadhan. Sepertimana ungkapan yang lain pernah menyebutkan:

السنة مثل الشجرة، وشهر رجب أيام توريقها، وشعبان أيام تفريعها، ورمضان أيام قطفها، والمؤمنون قطافها

Setahun itu seperti pohon, dan bulan Rejab adalah hari-hari berdaunnya, dan Sya’ban adalah hari-hari bercabangnya, dan Ramadhan adalah hari-hari menuainya, dan orang-orang yang berimanlah yang menuainya.

Niat dan keazaman adalah kunci utama bagi setiap mukmin. Tanpa kedua-duanya, amalan kita  akan menjadi sia-sia. Justeru, mulakan rejab kita dengan amalan soleh yang sedikit.

Kemudian, kita melalui fasa kedua / شهر السقيا iaitu fasa menyiram amal soleh itu dengan rapi yang merujuk kepada bulan sya’aban. Bukan setakat menyiramya dengan amal yang istiqamah, ia perlu menyiramnya dengan kejelasan kita dalam beramal.

Sebelum datangnya Ramadan, kita perlu memanaskan lagi enjin seketika. Beberapa konsep ibadah saya simpulkan dari pendapat Dr Majdi Hilaly, antaranya ialah :

  1. Ibadah hanyalah wasilah, perantaraan(metode), matlamatnya ialah pengabdian kepada Allah Taala. Umpama ubat dan kesihatan.
  2. Tujuan atau maqasid Ibadah adalah menghidupkan dan menambahkan hati dengan iman. Bukti keimanan kita bertambah adalah berdasarkan akhlak dan senstiviti kita terhadap pahala & dosa dalam kehidupan.

Dengan kita memahami konsep ini, nilaian ibadah kita itu akan menjadi lebih kualiti bukan sekadar kuantiti yang berganda tapi kosong. Bila kita mulakan dengan kualiti, rasa beribadah itu lagi bertambah seronok apabila kesannya dapat mengesani kehidupan, cara fikir, dan akhlak.

  1. Iman yang sempurna ialah dapat mengawal hawa nafsunya dari melakukan apa yang dia(hawa nafsu) mahu.

Dengan tingkatkan amalan soleh perlu selari dengan memohon keampunan dalam kehidupan kita. Kalau ia tidak selari, kehidupan kita di akhirat akan menjadi tempang dan muflis. Akhirnya, segala amalan akan menjadi sa-sia sekiranya hatinya masih lalai kepada Allah Swt.

Kemudian, fasa yang terakhir ialah fasa penuaian tanaman atau dikenali denganشهر الحصاد .

Fasa yang ditunggu-tunggu oleh semua orang, fasa amalan makin berganda-ganda. Segala hasil dari tuaian dan siraman tadi dengan cara yang sempurna akan mewujudkan buah hasil yang berkualiti.

Apabila kita masuk ke pintu gerbangnya 1 Ramadan, kita sudah ada persiapan dan cara yang cukup.

Seorang ulama faqih dari Mesir pernah berkata :

قول الفقيه ذو النون المصري رحمه الله: “رجب لترك الآفات، وشعبان لاستعمال الطاعات، ورمضان لانتظار الكرامات، فمن لم يترك الآفات، ولم يستعمل الطاعات، ولم ينتظر الكرامات، فهو من أهل الترهات

“Rejab adalah untuk meninggalkan dosa, Sya’ban untuk melakukan ketaatan, dan Ramadhan untuk menunggu sebuah kemuliaan. Sesiapa yang tidak meninggalkan kekotoran/dosa, tidak melakukan amal ketaatan, dan tidak menunggu sebuah kemuliaan, maka dia termasuk orang yang sombong.”

Beruntunglah orang mukmin yang masih dikurniakan hidayah, nyawa dan kesihatan pada saat ini. Tanpa kurniaan hidayah akan memberi kesan yang sangat besar terhadap kehidupan kita di dunia dan akhirat. Kita melihat suasana masyarakat harini sentiasa dipenuhi dengan fitnah dan pelbagai dugaan serta keadaan kawan-kawan kita yang mudah terjebak dengan maksiat yang semakin berleluasa. Namun, hidayah adalah milik dari Allah Swt, Dialah berhak memberikan hidayah itu kepada sesiapa yang berhak memilikinya.

Beruntunglah juga orang mukmin yang masih dikurniakan nyawa dan kesihatan pada saat ini. Berikutan bencana gempa bumi yang menimpa buat saudara-saudara kita di Turkiye & Syria baru-baru ini, meragut lebih dari 40 ribu nyawa serta ketiadaan tempat tinggal buat yang masih hidup serta keadaan negara-negara Islam kita yang terus ditindas, semoga mereka diberi peluang untuk beramal dan bertemu dengan bulan ramadan.

Sebagai penutup, walaupun kita berada di suasana akhir zaman, janganlah melepaskan peluang untuk beramal dan bertaubat. Nabi Saw berpesan dalam sebuah hadisnya :

إذا قامت الساعةُ وفي يد أحدكم فسيلة فليغرسها

(Jika berlakunya hari kiamat kepada salah seorang di antara kamu, dan dia mempunyai anak pokok di tangannya, hendaklah dia menanamnya).

Tuntasnya, Rejab adalah peluang untuk kita mengatur semula hidup kita, kerana segala ganjaran akan digandakan. Jangan lepaskan peluang selagi masih bernyawa. Semoga amalan ketaatan kita diterima oleh Allah Swt.

Jangan tunggu Ramadan, kerana nafas kita mungkin akan meninggalkan badan kita lebih awal.

Jangan banyak berfikir, singsingkan lengan baju, berwuduk, sucikan hati, dan dirikan solat. Semoga Allah Swt sentiasa memberkati dan merahmati segala perjalanan kehidupan kita ini dan berpeluang bertemu dengan ramadan.

اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان

Wallahu a’alam

Oleh : Muhammad Amirul Hadif

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini