Blog Isma Mesir

Artikel | Tentang Ilmu

October 15, 2022

Mempelajari dan memahami suatu ilmu adalah anugerah yang tak terkira dalam hidup. Cukuplah wahyu pertama yang diturunkan itu memberi isyarat besarnya falsafah ilmu itu sendiri. 

Tetapi bagaimana manusia mengukur sesuatu ilmu itu adalah ilmu? Apakah hakikat ilmu yang difahami oleh manusia?

Dalam perbahasan para ulama’ tentang pembahagian ilmu antaranya adalah ; Yaqin (iaitu pengetahuan/kefahaman tentang suatu ilmu yang diperolehi dengan penuh keyakinan) dan Zhon (iaitu pengetahuan/kefahaman tentang suatu ilmu yang diperolehi melalui penelitian/kajian yang mendalam) atau Zhon Rajih.

Para ulama’ bersepakat bahawa kebanyakan ilmu yang dicapai manusia adalah Zhon Rajih, dan sangat sedikit ianya mencapai ke tahap al-yaqin. Sebahagiannya mengatakan tiada ke tahap itu secara mutlak.

Mengapa sedemikian? 

Beberapa noktah lintasan tadabbur yang ingin dikongsi : 

1. Makna ilmu itu sendiri adalah kita mengetahui sesuatu perkara bertepatan dengan  realitinya/hakikatnya. 

Daripada takrif ini, tahu lah kita bahawa hakikat sesuatu kejadian hanyalah diketahui oleh Sang Pencipta. Maka hakikat ilmu (secara al-yaqin) hanya ada pada Allah.

2. Adapun manusia, mereka diberi komponen-komponen untuk mempelajari suatu ilmu ; Panca indra, Akal dan Hati. Komponen itu pula berhajat kepada tempoh/masa untuk menjadikan ilmu itu masak/matang (rasikh).

Kerana itu, Allah mengiktiraf sebahagian kumpulan manusia untuk kita mengambil ilmu daripadanya :

“..Tiada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang ilmu-nya mendalam (rasikh) mengatakan..” (ali imran: 7)

“..Maka bertanyalah kepada orang yang berpengetahuan, jika kamu tidak mengetahui” (an-nahl: 43)

3. Komponen-komponen tersebut juga berhajat kepada seseorang yang lain untuk mengajar ; berguru, muzakarah.

ولكن كونوا ربانيين بما كنتم تعلمون الكتاب وبما كنتم تدرسون

“..tetapi jadilah kamu orang-orang Rabbaniyyin, kerana kamu ‘mengajarkan’ Kitab, dan kerana kamu ‘mempelajarinya’” (ali ‘imran: 79)

Kelakuan ‘mengajar’ itu sendiri mestilah berlaku dengan adanya : Orang yang mengajar (guru), dan Orang yang belajar (murid).

4. Selain daripada panca indra dan akal. Hati/jiwa/perasaan juga adalah pelengkap kepada hakikat ilmu. Kerana itu, islam juga meraikan hati manusia dalam sebahagian sudut hakikat ilmu, seperti dalam sebuah hadis :

“استَفْت قلبَك ؛ البِرُّ ما اطمأنت إليه النفس واطمأن إليه القلب..”

“Tanyalah hati/perasaan kamu. Sesungguhnya kebaikan adalah apa yang menenangkan jiwa/perasaan kamu..”

Hasil ilmu yang dicapai melalui panca indera dan akal, mestilah memberi kesan kepada hati/perasaan. Jika tidak, ia hanya kekal sebagai pengetahuan yang berada dalam kepala, dan tidak sampai kepada hati yang membuahkan sebuah ilmu lain (perasaan).

Allah berfirman : “Di antara hamba-hamba Allah yang takut kepada-Nya, hanyalah para ulama..” (fatir: 28). Kata Rabie bin Anas : “Baransiapa yang tiada (perasaan) takut kepada Allah, maka dia bukanlah seorang ‘alim”. Kata Ibnu Mas’ud : “Cukuplah khasyiah (perasaan takut kepada Allah) itu sebagai ilmu”

Tidak sama pengetahuan orang yang makan sebiji buah epal, dan orang yang tidak makan. Orang yang makan tidak perlu kepada sebuah penerangan untuk memahamkan bagaimana rasanya buah epal. Kerana cukuplah ‘rasa’ itu sebagai sebuah ilmu.

Begitulah pula perasaan-perasaan setiap hamba yang mendekati Tuhannya. Ianya sebuah ilmu khusus, seperti yang disebut oleh Ibnu Rajab al-Hanbali sebagai ; Ma’rifah Khassah.

5. Akhir sekali, hakikat-hakikat ini memberi kesedaran betapa kerdilnya manusia jika hanya bergantung kepada komponen dirinya untuk menggapai sebuah ilmu dengan menafikan wahyu yang merupakan sumber daripada Tuhan yang maha meliputi segala pengetahuan.

Moga Allah membimbing perjalanan setiap penuntut ilmu sehinggalah datangnya kematian (al-yaqin).

Oleh : Ustaz Ahmad Nik Khalifah

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini