Blog Isma Mesir

Memperingati perjuangan Baginda SAW

October 9, 2022

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah kita sudah memasuki bulan Rabiul Awal, bulan di mana kita menyambut Hari Maulidurrasul, Hari kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW. 

Para Ulama berbeza pandangan dari sudut hukum sambutab Maulidurrasul. Pandangan pertama adalah bid’ah dengan dalil bahawa ianya tidak dilaksanakan oleh generasi tiga kurun yang pertama dan tidak juga pada generasi selepasnya. Nabi SAW juga bersabda :

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ

Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “

(Riwayat al-Bukhari, no. 3445)

Sedangkan pandangan kedua adalah harus dan termasuk dalam perkara Bid’ah Hasanah. Pandangan ini dipegang oleh sebahagian ulama’ silam dan kontemporari seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti dan Imam Mutawalli al-Sya’rawi. Antara dalilnya adalah hadith riwayat Imam Muslim daripada Abi Qathadah Al Ansari:

ان رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل عن صوم الإثنين؟ فقال :

« فيه ولدت وفيه أنزل علي ،>>

“Bahawa Nabi SAW pernah ditanya mengapa Baginda berpuasa pada hari Isnin. Baginda SAW menjawab “Hari itu adalah hari keputeraanKu dan hari itu juga adalah hari diturunkan wahyu ke atasku.”

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi SAW selalu mengingati hari lahirnya dengan berpuasa pada hari tersebut. Sheikh Abdul Hamid bin Sheikh Muhammad Ali yang merupakan seorang guru di Masjidil Haram berkata dalam kitabnya ‘Kanzun Najah’,  “Kesyukuran terhadap kelahiran Nabi SAW dan kegembiraan kepada Baginda SAW dizahirkan dengan bersolat atau berpuasa, sedekah, membaca al-Quran serta ibadat yang lain dan bukan dengan pekara yang ditegah”.

Menyambut Maulidurrasul adalah satu perkara yang terpuji serta mengikuti syarak kerana ia mengingatkan kita kepada sirah dan pekerti Nabi serta kesungguhan Baginda SAW menyampaikan dakwah.

Antara tujuan sambutan Maulidurrasul ini adalah bagi menyemarakkan lagi semangat keimanan umat Islam dan menambah kecintaan kepada Rasulullah SAW, mempelajari sirah Baginda SAW, memperbanyakkan selawat dan mencontohi sunnah Rasulullah SAW. 

Sunnah yang paling utama diajarkan Rasulullah SAW adalah berjuang menyampaikan risalah dakwah. Sebagaimana yang kita ingat kisah dalam Peperangan Khandaq juga dikenali dengan Peperangan Ahzab, kaum muslimin berperang dengan Bani Quraisy dan Ghatfan serta kabilah-kabilah yang lain. Tentera Islam telah menggali parit sebagai sebuah strategi perang menghadapi musuh. 

Nabi SAW turut menyertai umat Islam dalam usaha tersebut. Para sahabat ketika itu kelaparan kerana terhadnya bekalan makanan. Nabi SAW turut bersama menahan lapar sebagaimana para sahabat yang lain sehingga baginda mengikat perutnya dengan batu. Ini menunjukkan bahawa Nabi SAW berlapar dan berjuang sebagaimana para sahabat berlapar dan berjuang. 

Semua ini menunujukkan bahawa kemenangan Allah tidak akan datang melainkan dengan mengambil asbab. Akhirnya Allah Taala menghantar bala tentera angin yang mengalahkan musuh musyrikin ketika itu. Kisah ini diceritakan dalam Surah Al-Ahzab :

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ جَاءَتْكُمْ جُنُودٌ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ رِيحًا وَجُنُودًا لَّمْ تَرَوْهَا وَكَانَ اللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرًا * إِذْ جَاؤُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتْ الأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا} (الأحزاب:9-10)

Allah SWT memerintahkan kaum muslimin agar mengingati kisah ini supaya tidak lupa dengan nikmat pertolongan dan kemenangan  daripada Allah dalam peperangan ini.

Dalam kegembiraan kita menyambut Maulidurrasul, ingati juga saudara kita yang sedang berjuang di seluruh tanah umat Islam sama ada dari sudut peperangan senjata ataupun peperangan melawan ideologi yang bertentangan dengan Islam.

Marilah kita berdoa untuk mereka dan bersama menghidupkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan kita sama ada dalam pergaulan, perhubungan dan juga perjuangan.

Salam Maulidul Rasul 1444H

Penulis : Nur Ashikin Binti Mohamad Mathurudi
Ahli Majlis Ulama Isma Mesir (Muis Mesir)

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini