Blog Isma Mesir

Kemerdekaan Sebenar Adalah Hidup Dalam Perjuangan

September 18, 2022

Apakah Yang Anda Faham Tentang Kemedekaan? 

Untuk mendefinisikan makna kemerdekaan yang hakiki, tidak cukup sekadar kita memberikan takrif umum tentang kemerdekaan iaitu bebas dari penjajahan kuasa asing, kerana penjajah sudah tidak lagi berada di negara kita. 

Tetapi sejauh manakah hakikat kemerdekaan yang kita raih dapat diukur dengan menilai 2 aspek atau persoalan iaitu adakah kita telah berubah setelah penjajah keluar dari tanah air kita ataupun kita kembali kepada asal. 

Mari kita fahami 2 perkara ini: 

1. Berubah dengan maksud berlaku perubahan pada orang Melayu daripada asalnya berpegang dengan jati diri orang Melayu kepada terpengaruh dengan budaya dan agenda jahat penjajah terutamanya barat dan komunis. 

2. Manakala kembali kepada asal bermaksud kita kembali berpegang dengan jati diri orang Melayu sebagai bangsa pejuang dan bertamadun dengan nilai budaya akhlak dan agama Islam serta kekal dengan pegangan tersebut setelah bebas daripada cengkaman penjajah. 

Jati diri orang melayu tidak hanya pada pemakaian busana dan tanjak, atau adat setempat warisan nenek moyang semata-mata.Tetapi jati diri tersebut terbina di atas asas agama Islam yang kukuh, memiliki falsafah agungnya yang tersendiri, serta lengkap dengan sistem undang-undang dan teknologi yang canggih. 

Sekali lagi, jati diri orang melayu bukan sekadar sebuah kepercayaan, tetapi sebuah tamadun yang unggul dan hebat. Cubalah kalian kaji, anda pasti akan terpegun akan hebatnya bangsa ini ! 

Jika perkara kedua tadi terbukti, maka itulah kemerdekaan sebenar yang patut kita capai .Kerana situasi tersebut menggambarkan bahawa kita memiliki iradah, kehendak,  kekuasaan, dan seumpamanya untuk menentukan sendiri masa depan negara kita. Bukan pada zahirnya kita merdeka, tetapi sebenarnya kita masih terikat dengan Sistem Komanwel yang dikawal oleh British. 

 

Kemana Hala Tuju Bangsa dan Negara Kita? 

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!” , sebanyak 7 kali bunyi teriakkan   laungan keramat pencetus semangat yang dilaungkan oleh lebih daripada 20,000 orang Melayu yang hadir di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Laungan tersebut telah dilaungkan buat pertama kali oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra iaitu pada tanggal 31 Ogos di 1957 , menandakan bahawa telah berakhirnya tempoh pemerintahan British keatas orang Melayu. 

Tiada lagi penjajah yang kejam menindas bangsa kita.  Kita merdeka! 

Namun lipatan sejarah adalah cerminan kepada keadaan masa kini. Masalah-masalah yang masih menimpa tanah air dan bangsa bukanlah sebuah persepsi atau persoalan kosong, tetapi datang daripada saki -baki kesan penjajahan yang masih wujud. Bukan sekadar pada budaya pemakaian dan adat, tetapi pemikiran bangsa kita turut berubah.

Meskipun pada masa kini serangan musuh tidak jelas kelihatan seperti roket di udara, tetapi kita menerima serangan pemikiran yang berbahaya. Sama ada  bertujuan untuk memenuhi kepentingan hak peribadi sesetengah  ahli politik yang menjadi “puppet” yang dikawal oleh liberalisme barat, ataupun musuh Islam yang ingin menghancurkan bangsa Melayu lantaran bangsa ini mulia dengan beragama Islam. 

Kita masih sedang berjuang menentang semua ini, maka adakah benar kita sudah merdeka sepenuhnya? 

Oleh itu saya tegaskan, perjuangan kita masih belum selesai. Kita sedang menyambung rantaian perjuangan pahlawan terdahulu seperti Mat Kilau bin Imam Rasu yang gencar menentang penjajah British di Jerantut ,Pahang. Kita sedang mewarisi risalah dakwah seperti mana Muhammad Yusuf bin Ahmad yang dikenali sebagai Tok Kenali menyebarkan dakwah dalam kalangan orang Melayu di Kota Baharu, Kelantan. 

Ini negara perjuangan. Tanpa perjuangan, bangsa ini akan lumpuh dimamah rancun yang masih berbaki ditinggalkan penjajah. 

Jadi persoalan ‘kemanakah hala tuju bangsa dan negara kita’ adalah kita sedang menuju kepada kemerdekaan yang sepenuhnya.

Bermula pembebasan individu daripada belenggu syahwat dan syubhat kepada pengamalan al-Quran dan Sunnah, hingga kepada pembebasan Watan daripada cengkaman kuku besi Taghut moden yang muncul dengan pelbagai warna yang mengelirukan. 

Sekali lagi, Malaysia adalah negara perjuangan!

 

Bersedia Menghadapi Cabaran! 

Sudah terhantuk baru tengadah.

Itu situasi yang tidak mahu kita hadapi jika  ancaman menimpa bangsa dan tanah air dalam keadaan kita tidak bersedia. Sejarah negara yang tertulis di dalam buku teks bukanlah sesuatu peristiwa yang meninggalkan makna yang tidak sengaja dan sia-sia. Tetapi hendaklah kita mengambil ibrah dan pengajaran, lalu menulis panduan di atas lembaran masa hadapan dengan tinta emas, agar generasi selepas ini tidak tewas dengan perancangan musuh mahupun penajajah yang berkepentingan peribadi. 

Kata pepatah arab, 

اللبيب يعرف الفتنة قبل مجيئها ولكن الغبي يعرف الفتنة بعد مجىيئها 

“Orang yang bijak pandai mengenali ancaman dan musibah  sebelum kedatangan ancaman tersebut, manakala orang yang dungu mengenali ancaman sebaik sahaja dirinya ditimpa dengan ancaman dan musibah tersebut.”

Kesimpulannya, soal pengisytiharan kemerdekaan sejak 65 tahun yang lalu bukan perkara yang perlu diperdebatkan. Tetapi persoalan kepada makna kemerdekaan yang hakiki adalah perkara yang diseru untuk diperjuangkan. 

Usah melihat berapa lama lagikah tempoh kita akan benar-benar merdeka, tetapi fokuslah pada tugasan kita di setiap medan amal yang ada. 

Moga-moga bangsa dan tanah airku akan merdeka sepenuhnya. 

 

Selamat Menyambut Hari Malaysia

Fitri Adnan

Tahun 4 Kuliah Syariah Islamiyah.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini