

MADINAT NASR, 31 Oktober – Anugerah terunggul Konvokesyen Graduan Malaysia Universiti Al-Azhar Ke-10 anugerah Imam Al-Akbar berjaya diraih oleh aktivis Isma Mesir, Mohd Qutaibah Bin Ismail yang merupakan satu-satunya graduan Malaysia memperolehi pangkat keseluruhan Jayyid Jiddan dalam kuliah Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Anugerah yang sama juga dianugerahkan kepada sahabat beliau dalam kuliah Ulum Islamiah, Muhammad Azmi Bin Wazir. Anugerah khas ini disampaikan oleh Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Ku Jaafar Ku Shaari bersama Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Abdel Fattah Abdel Ghani dan Menteri Penasihat (Pendidikan) Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Prof. Madya Dr. Mohd Radhi Ibrahim.
Mahasiswa berumur 23 tahun ini sejak dari tahun pertama di Al-Azhar konsisten hadir ke kuliah dan rajin merujuk kepada pensyarah-pensyarah dan ulama’-ulama’ Al-Azhar perihalpelajaran dan luar pelajaran. Anugerah Imam Al-Akbar ini telahpun dijangkakan oleh rakan-rakan beliau lantaran rekod akademik cemerlang yang dilakar sejak di bangku sekolah menjadi buah bualan para pelajar dan guru. Rentetan kecemerlangan akademik yang bermula sejak peperiksaan PMR dengan keputusan 7A seterusnya meraih 8A pada peperiksaan SPM dan kemudiannya mengambil peperiksaan STAM di Akademi Ikatan Muslimin Ipoh, Perak yang menjadi syarat kemasukan ke Universiti Al-Azhar dengan keputusan cemerlang Mumtaz.
Bukan sekadar di meja belajar anak kelahiran Mesir ini
cemerlang bahkan di pentas kokurikulum juga turut aktif dengan menyertai sukan catur di peringkat sekolah selama dua tahun dan mewakili sekolah dan daerah dalam sukan ping pong sekaligus dilantik menjadi Pengerusi Kelab Ping Pong di sekolah beliau. Kefasihan bahasa arab beliau lebih terserlah ketika mana terpilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan Debat Bahasa Arab peringkat sekolah-sekolah. Dalam masa yang sama, dirinya dilantik menjadi Pengerusi Kelab Nasyid sekolah dan merupakan salah seorang anggota kumpulan nasyid NAJAHAN.
Sepanjang empat tahun di Mesir, pemuda ini mencipta sejarah tersendiri dalam pencapaian akademik dengan memperolehi keputusan pangkat Jayyid untuk tahun pertama dan kedua kemudian dikurniakan pangkat Jayyid Jiddan pada tahun ketiga dan keempat di Al-Azhar. Lebih membanggakan lagi, Education Malaysia Egypt (EME) turut memberi kepercayaan kepada beliau untuk menjadi wakil kuliah Syariah Islamiah bagi mahasiswa Malaysia di Universiti Al-Azhar sebagai perantara antara beliau dengan Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Azhar di majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar-Pelajar Pengajian Islam Tahun 2015 anjuran Education Malaysia Egypt (EME) 29 Ogos yang lalu.
Selari dengan cita-cita anak jati Johor ini ingin menjadi mufti, kini beliau sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Al-Azhar dalam bidang Usul Fiqh yang menjadi tempat pilihan mahasiswa Malaysia di sini yang mempunyai rekod cemerlang di peringkat sarjana muda.
Di samping itu, kecemerlangan dalam akademik sahaja masih tidak memadai malah apa yang lebih penting sebagai seorang pelajar adalah pembentukan diri yang menyeluruh dan bersepadu dari segala sudut termasuk potensi dan kemahiran tambahan yang digarap di luar dewan kuliah. Minat beliau yang mendalam terhadap penulisan khat menolak dirinya untuk mempelajari khat Riqaah secara bersanad daripada gurunya Ustaz Mubarak Bin Easaam Makarim. Kehalusan seni khat beliau terbukti apabila telah beberapa kali dijemput oleh kedutaan Malaysia di Mesir untuk memperaga seni khat beliau di pameran-pameran kesenian Islam sekitar Mesir antaranya Arabic Calligraphy Exhibition by ASEAN Students In The Republic Arab of Egypt 2015 yang telah diadakan di Zamalek dan juga pernah menyertai pertandingan khat di peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh negara Turki (المسابقة الدولية العاشرة لفن الخط باسم الخطاط الحافظ عثمان).
Berperwatakan ceria dan mesra, penglibatan dalam medan aktivisme bersama Isma Mesir menjadi antara ramuan rahsia kecemerlangan akademik dirinya kerana bagi beliau apabila kita menolong agama Allah dan membantu orang lain, maka Allah akan turut membantu kita. “Ilmu bukan hanya sekadar menelaah kitab semata-mata tetapi ia adalah bagaimana ia mampu dimanfaatkan kepada orang lain dengan kata lain adalah dengan terlibat dalam aktivisme,” ujar beliau. Tambahan pula, Isma Mesir memberikan penekanan yang tinggi kepada akademik dengan mengadakan kelas-kelas tutorial, study group, kursus-kursus persediaan peperiksaan, nota-nota mengikut subjek dan sebagainya yang sangat membantu dalam mencapai kecemerlangan akademik sepanjang di bumi Mesir.
Apabila ditanyakan apakah slogan hidup anak kedua dari tujuh orang adik beradik ini, jawab beliau dengan ringkas dan mendalam maknanya “Mumtaz Untuk Ummah”. Inilah contoh mahasiswa Mesir yang menggabungkan antara ilmu dan aktivisme tanpa terpisah-pisah dan sekali lagi aktivis Isma Mesir berjaya buktikannya.
