
MADINAH NASR, 25 Feb – Ekoran laporan ISMA Mesir pada 17 Februari yang lalu berkenaan kebimbangan pihak EME atas kemeruduman prestasi akademik para penuntut di kuliah pengajian Islam di Universiti Al-Azhar sejak dua tahun yang lepas, wartawan ISMA Mesir sempat menemuramah seorang graduan dari fakulti yang sama dari universiti tersebut.
“Secara umumnya, kemeruduman prestasi akademik mahasiswa Mesir sangat berkait rapat dengan kelemahan penguasaan bahasa Arab, samada yang rasmi ataupun loghat pasarnya. Penuntut yang mampu membaca, mendengar dan bertutur dalam bahasa Arab dengan baik akan mengecapi keseronokan dalam mengikuti pengajian di kuliah. Hal ini penting dalam memastikan seseorang itu tidak merasa bosan dan terus bersemangat untuk menekuni pengajian di kuliah”, kata Ustaz Muhammad Asyraf Bin Othman, graduan Fakulti Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar, Kaherah.
Bahas beliau berkenaan bahasa Arab sebagai kunci penguasaan pelbagai ilmu agama, “pintu tidak akan dapat dibuka jika kita tidak mempunyai kuncinya. Untuk mereka yang menghadapi masalah dalam membaca bahasa Arab, perlulah berkorban masa dan tenaga untuk menguasai ilmu Nahu dan Sarf kerana kedua-dua ilmu inilah kunci kepada penguasaan ulum syarak”.
Dapat dilihat di sini Ustaz Asyraf amat menitikberatkan penguasaan bahasa Arab sebagai kunci memahami pengajian di kuliah. Dalam pada itu, menurut beliau, apabila seorang mahasiswa mampu membaca dan memahami bahasa Arab dengan baik pada awalnya, mahasiswa tersebut akan mampu untuk mendengar dan bertutur dengan baik pula selepas itu”.
“Di samping itu, saya secara peribadi sangat mengalu-alukan sebarang penambahbaikan terhadap sistem pembelajaran Al-Azhar itu sendiri yang bagi saya, sangat mencabar bagi kebanyakan siswazah Malaysia; seperti penggunaan bahasa Arab pasar dalam dewan kuliah, pembelajaran satu hala, waktu kelas yang padat dan lain-lain” saran Ustaz Asyraf. “Ini juga (penambahbaikan sistem Al-Azhar)merupakan faktor yang akan banyak membantu kepada peningkatan prestasi akademik mahasiswa selain daripada perubahan sikap-sikap negatif siswazah itu sendiri seperti malas hadir ke kuliah dan culas dalam mentelaah pengajian”, hujah beliau lagi.
Ustaz Asyraf kini sedang melanjutkan pengajiannya dalam bidang yang sama di peringkat Sarjana (Master) di Universiti Kaherah, dan juga merupakan Exco Biro Dakwah ISMA Mesir bagi sesi ini.