
MADINAH NASR, 23 November – “Mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir pasti mengenali kubu-kubu Sultan Salahuddin Al-Ayubi di kawasan Bukit Tursina dan di Kaherah. Sebenarnya, banyak lagi peninggalan sejarah di sekeliling rutin harian mahasiswa Azhar terutamanya. Kawasan Kaherah lama sahaja telah mengandungi seribu satu sejarah unggul keagungan empayar Islam” ulas saudara Ahmad Aqil Bin Rozain, penuntut tahun kedua Kuliah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar.
Saudara Aqil yang merupakan pembentang jemputan bagi siri Kelas Tafaqquh Fi Deen anjuran ISMA Mesir syukbah Hayy Sabie, telah membentangkan tajuk Ibrah Ayyoubiah di Maktabah Hikmah, Hayy Asyir.
Dalam pada itu, mengulas berkenaan kemasukan Sultan Salahuddin Al-Ayubi ke Mesir, menurut beliau puak Syiah dan puak Kristian telah bersubahat untuk menyerang pasukan tentera Ayoubiah namun gagal. Sepanjang Sultan Salahuddin memerintah Mesir juga sempat menyaksikan beberapa siri perang Salib yang disertai beliau sendiri.
Menurut beliau lagi, puak Syiah dan kuffar akan sentiasa memerangi ajaran Islam kerana fitrah haq akan sentiasa berlawanan dengan yang batil, dan mereka yang buta sejarah hanya bakal mengulangi siri sejarah yang sama.
Selain itu, Saudara Aqil juga sempat menegaskan bahawa ruh Jihad yang kian menghilang dalam jiwa umat Islam kini merupakan antara sebab kelemahan jati diri kronik yang melanda umat kini, dan menyebabkan umat ini terus dibuli dan dijajah kuasa asing.
Saudara Aqil juga terlibat secara langsung dalam menerbitkan sebuah buku tentang sejarah keungulan empayar Islam di Mesir bersama seorang graduan Universiti Al-Azhar, Ustaz Najid Bin Jamalullail. Buku tersebut masih dalam pembikinan dengan mensasarkan perasmiannya pada tahun hadapan.