
HAYY THAMIN, 18 November – “Hatta satu unit manusia pun berlainan, inikan unit-unit kelompok manusia” hujah Ustaz Amar Ismat Bin Mohd Nasir, penuntut di Kuliah Usuluddin Jabatan Aqidah dan Falsafah, Universiti Al-Azhar. Beliau juga sempat menerangkan, apabila ditanya seorang daripada para hadirin tentang relevan kewujudan pelbagai persatuan mahasiswa Malaysia di Mesir, bahawa kepelbagaian tetap akan wujud kerana itulah fitrah sejagat dan tidak dapat dinafikan maka ianya perlu dirai dengan elok daripada terus mewariskan dendam dan permusuhan yang tak berkesudahan. Ustaz Amar Ismat merupakan antara ahli panel di program tahunan ISMA Mesir, Tak Kenal Maka Tak Cinta, TAKEMATACI.
Tambahan beliau pula, taadud dibolehkan apabila hanya berbeza pada isu-isu furu’ (cabang) dan bukan isu-isu usul (asas) dalam agama, perbezaan yang dihiasi dengan adab dan akhlak, serta menjaga batas-batas dalam perbezaan. Beliau juga sempat mengqiaskan taadud ini seperti khilaf mazhab yang wujud dalam furu’ fiqhi (cabang dalam soal fekah) seperti yang diinspirasikan oleh seorang tokoh pemikir gerakan Islam di Lubnan.
“Kita sebenarnya adalah satu dalam aqilah dan matlamat. Cuma berbeza pada cara dan pendekatan. Maka seeloknya semua entiti yang berbeza ini sepakat dalam soal kedaulatan Islam dan isu umat Islam sejagat, walaupun berlainan badan persatuan”, kata Ustaz Amar.
Forum ini juga menampilkan 2 orang panelis iaitu saudara Wan Ahmad Fathin selaku ketua Unit Hal Dalaman ISMA Hayy Sabi’e dan saudari Nurul Izzati Binti Azmi, ahli Biro Wanita ISMA Mesir, dan saudara Ahmad Nawfal Bin Fathel sebagai moderator. TAKEMATACI kali ini juga telah diserikan dengan ucaptama oleh Ustaz Amirul Azmi selaku ketua ISMA Madinah Nasr, dan dimeriahkan lagi oleh persembahan nasyid oleh kumpulan Naseh yang mendendangkan lagu berjudul Cukuplah Sengketa.
Forum berupa pengenalan tentang ISMA Mesir itu telah berlangsung di Rumah Negeri Johor Hayy Thamin tersebut telah dibandiri oleh tidak kurang 150 orang mahasiswa sekitar Kaherah, dan tamat tepat pada jam 9 malam.