
HAYYU SABIE, 20 Sept – Saudara Amar Ismat Bin Mohd Nasir, antara barisan penganalisis bahagian Timur Tengah di Interdisciplinary Research and International Strategy (IRIS Institute) telah menegaskan bahawa taruhan kemerdekaan sesebuah negara terutama Malaysia, bukan sahaja taruhan demi kebebasan semata malah taruhan demi survivaliti jati diri rakyat bagi negara tersebut. Tambah beliau lagi, keperluan bagi umat Islam untuk memiliki sebuah negara yang merdeka adalah amat penting bagi memastikan syariat Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam diri setiap individu.
Saudara Amar Ismat yang kini menuntut di tahun ke-3 Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar berkata sedemikian di Forum Merdeka dan Hari Malaysia, Masa Depan Malaysia Perspektif Anak Muda anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mesir semalam, di mana beliau merupakan ahli panelis yang ke-4.
“Merdeka adalah dua perkara; bebas daripada segala ancaman dari dalam dan luar negara serta kukuh jati diri dan identiti rakyat dalam sesebuah negara berkenaan”, hujah saudara Amar memulakan bicaranya. “Jika Malaysia adalah seorang manusia, maka namanya Malaysia, agamanya Islam dan bangsanya Melayu”.
Dalam isu penegakan syariah Islam secara total di Malaysia, Amar berkata, “Malaysia merupakan negara Islam yang tidak sempurna keislamannya, maka pelaksanaan syariah di Malaysia harus diteliti dengan lebih mendalam dan kemas. Tetapi yang pasti, Malaysia bukan negara sekular”. Saudara Amar juga mengkritik konsep Fiqh Muwatonah (Fiqh Kewarganegaraan), yang seringkali disalah erti oleh sesetengah pihak, yang sepatutnya jelas batasnya dalam menjaga hak-hak bumiputra dan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan di Malasyia, seperti yang telah ditandatangani di dalam Kontrak Sosial.
Saudara Amar juga percaya bahawa perubahan yang ingin dilakukan di Malaysia haruslah bermula dari peringkat akar umbi, iaitu bermula dari pendidikan secara syumul di peringkat sosial. Tegasnya, “Islam merupakan agama yang paling ramai penganutnya di dunia, tetapi mengapa negara haram Israel yang kecil masih tidak dapat ditewaskan saban hari? Di sini peranan kualiti berbanding kuantiti. Kita ramai dari segi angka, tetapi hanya angka kosong”.
Dalam pada itu, saudara Amar juga sempat melontarkan impiannya untuk melihat gerakan-gerakan Islam khususnya di Malaysia bersatu padu dalam merealisasikan agenda Islami walaupun berbeza dari segi pelaksanaan dakwah dan pendekatannya.
Apabila ditanyakan salah seorang audiens mengenai revelan keterlibatan politik dalam kalangan mahasiswa, saudara Amar menjawab, “Siyasah (politik) dan Islam tidak dapat dipisahkan kerana ia adalah sebahagian daripadanya. Namun begitu, kita menolak ketaksuban melampau dan politik kepartian yang sememangnya tidak menguntungkan rakyat”.
Forum yang diadakan di Academic Center Medik Mesir, Hayyu Sabie tersebut juga dibarisi oleh saudara Haziq Aiman dari Kelab Membaca Zagaziq, saudara Hanzalah Tarmizi selaku mantan pengerusi Kelab Ikram Mesir, saudara Farhat Zuhairi selaku pengerusi ABIM Mesir dan moderatornya saudara Aiman Nurearef yang juga merupakan ketua Exco Belia dan Intelektual ABIM Mesir.