Blog Isma Mesir

K-Pop : Belia Keliru Idola

January 14, 2015

downloadBaru-baru ini negara kita telah digemparkan dengan berita pemudi bertudung berpelukan dengan artis Korea dan melakukan aksi-aksi yang melanggar budaya apatah lagi syariat agama Islam. Saya pasti ramai pihak yang berasa kesal atas apa yang berlaku, mencari punca dan mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab dalam insiden ini.

Sekiranya kita melihat isu ini dari segenap sudut, tanggungjawab ini terpikul dibahu kita yang sensitif terhadap kemungkaran. Bukankah mereka merupakan adik-adik atau mungkin rakan sebaya yang kurang kefahaman atau tiada yang memberi peringatan dan nasihat. Oleh itu, jangan kita rasa bahawa kerja kita ini mudah dan berada di zon selesa.

Terus terang saya katakan bahawa ‘demam korea’ ini telah melanda Malaysia sejak saya dibangku sekolah rendah lagi iaitu 10 tahun yang lalu. Pernahkah kita membaca sejarah Korean Pop (K-pop) ini?

Secara ringkas yang boleh saya katakan, kehadiran muzik K-pop ini merupakan strategi budaya yang memang disengajakan dengan mengetengahkan Boy Band dan Girl Band dalam industri hiburan mereka sehingga mampu menampilkan idola yang digilai oleh pemuda dan pemudi kita sedikit demi sedikit.

Kebanyakan kita telah ditanam sejak dari kecil untuk menjadikan Rasulullah s.a.w sebagai qudwah hasanah dalam kehidupan kita. Para pendidik dan ibu bapa telah mengajar kita untuk membaca dan menghafal doa-doa harian daripada kita membuka mata sehinggalah menutup mata kembali dengan apa yang Rasulullah lazimi.

Namun, kesan pencairan identiti ini kita dapat lihat pada pemuda pemudi yang sentiasa mencari perkembangan terbaru artis-artis dan lagu-lagu Korea yang menjadi ia zikir harian mereka. Saya juga pernah duduk dikalangan rakan sebaya seperti ini. Mereka sanggup bersengkang mata dan berjaga malam untuk menonton drama-drama Korea.

Malah, berasa bangga sekiranya merekalah orang yang paling tahu tentang artis tersebut. Namun, apabila ditanya tentang sejarah Islam mahupun sejarah Nabi Muhammad s.a.w, pasti terpinga-pinga untuk menjawabnya.

Seorang murabbi pernah memberi pesanan pada saya ketika proses pentarbiyahan diri baru bermula. Saat itu ‘demam korea’ juga baru mula menjalar dalam kehidupan golongan remaja;

عَنْ عَبْدِ اللهِ بنِ مَسْعُوْدٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: (المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ) . رَوَاهُ البُخَارِيُ

Diriwayatkan oleh Abdullah bin mas’ud Ia berkata bahwa Rasulullah saw. Bersabda: “Seseorang itu bersama orang yang ia cintai.”(Riwayat Bukhari)

Sang Murabbi itu turut memberikan pengajaran daripada hadis ini. Kita akan dikumpulkan diakhirat nanti bersama dengan orang yang kita cintai di dunia. Pesanan ini sentiasa saya pahatkan dalam ingatan agar tidak salah meletakkan cinta ini kepada perkara yang sia-sia.

Maka, cinta itu haruslah di letakkan pada yang sepatutnya iaitu Rasulullah s.a.w. Persoalannya, mengapa umat islam kini tidak mendapat inspirasi daripada tokoh motivasi ulung ini?

Rasulullah adalah teladan yang terbaik. Bagindalah orang yang paling baik akhlaknya, berani, dermawan dan bermotivasi. Fakta penting ini tidak pernah dimiliki oleh `superhero’, artis ataupun pemain bola sepak yang sering dipuja masyarakat.

Wujudkah manusia yang lebih mulia daripada Muhammad kekasih Allah ini? Wujud perkara yang lebih indah daripada saat dikumpulkan bersama Rasulullah?

Oleh: Fathiah Solehah binti Ismail, Tahun 1 Fakulti Ulum Islamiyah, Universiti Al-Azhar Kaherah

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini