
ISKANDARIAH, 3 Januari – “Saya tertarik dengan program Identiti Malaysia yang Dilupakan. Saya terfikir banyak orang Malaysia yang sudah hilang identitinya. Contohnya hilang rasa hormat antara satu sama lain,” kata Encik Muhamad Faisal Bin Abdul Bashir, penolong pengarah MARA Timur Tengah. Beliau telah merasmikan program yang dianjurkan oleh ISMA Mesir syukbah Iskandariah semalam.
Identiti tanah Melayu sebuah penelitian sejarah dan pembentukan identiti negara dari perspektif sejarah dan perlembagaan iaitu Islam, Raja dan Melayu dalam perlembagaan merupakan dua tajuk pembentangan yang disampaikan.
“Kita seharusnya menyedari izzah kita dengan bangsa Melayu bukanlah pada adat dan bangsa semata-mata. Yang lebih utama ia berkait rapat dengan agama Islam itu sendiri,” kata saudari Nur Akma bt Zainal Shahrom selaku pembentang pertama. Pelbagai penelitian sejarah yang telah dikupaskannya dapat menyangkal persoalan bahawa bangsa Melayu ini bangsa pendatang.
Saudara Huzaifah Ibrahim bin Adam Shah selaku pembentang kedua telah membentangkan tajuk Islam, Raja dan Melayu dalam perlembangaan.
Ketuanan Melayu bukanlah untuk menindas kaum yang lain. Ia untuk mengingatkan mereka bahawa bangsa Melayu adalah tuan kepada tanah Melayu dan mereka perlu akur dengan itu.
Bangsa-bangsa lain tiada hak untuk mempertikaikan kontrak sosial. Ini kerana mereka telah dijanjikan dengan Jus Soli yang merupakan kewarganegaraan bebas untuk bangsa India dan Cina.
Program ini turut dihadiri oleh Dr. Ahmad Fahmi bin Abdullah, jawatankuasa pusat biro dakwah ISMA Mesir. Seramai 62 orang peserta telah menyertai program ini yang berakhir pada jam 10 malam.