
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, setelah kehilangan sebuah pesawat Malaysia MH370 pada April lalu, negara kita sekali lagi digemparkan dengan tragedi pesawat Malaysia MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai 2014 bersamaan 20 Ramadhan 1435H. Pesawat Boeing 777 membawa 298 penumpang serta anak kapal telah berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 6.10 pagi waktu Malaysia.
Pelbagai reaksi pemimpin dunia terhadap tragedi ini. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak menyatakan rasa terkejut dan berikrar menyiasat tragedi itu dengan segera manakala Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama menyifatkan sebagai ‘ tragedi yang dahsyat ‘ dan sedia menghulurkan bantuan. Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu, Ban Ki-moon menyatakan bahawa ada keperluan yang jelas untuk siasatan antarabangsa terhadap tragedi ini. Tidak ketinggalan reaksi penceramah terkemuka, Mufti Ismail Menk menyatakan peristiwa tersebut sebagai satu ujian yang perlu dihadapi.
Maka timbul pelbagai punca dan konspirasi terhadap tragedi ini. Di awal tragedi ini, Kerajaan Malaysia mengambil pendirian tidak menunding jari kepada mana-mana pihak sehingga siasatan teliti dijalankan. Kerajaan Malaysia juga telah mengambil langkah menghantar pasukan penyiasat khas Malaysia ke Ukraine untuk berunding dengan pihak puak pemisah Ukraine, mengumpul bahan bukti, mendapatkan kotak hitam, serta memindahkan mayat mangsa tragedi yang akhirnya berjaya ditangani sendiri oleh Malaysia.
Pada pandangan saya peribadi, jika nahas ini terjadi berpunca daripada tersalah tembak, seperti yang telah tercatat dalam lipatan sejarah ke atas Korean Air pada tahun 1983 dan Iran Air pada tahun 1988, maka perlu kepada usaha untuk mencari pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi yang menyayat hati ini. Pihak yang bertanggungjawab perlu di kenakan tindakan tegas yang sewajarnya dan dibawa ke muka pengadilan.
Sebagai umat Islam, kita hendaklah percaya terhadap Qada’ dan Qadar yang telah ditentukan oleh Allah. Insiden ini juga mengingatkan kita akan hakikat kematian yang datang dalam pelbagai bentuk dan tanpa mengira waktu.
“ (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali ” (Al-Baqarah:156)
Jika tragedi ini merupakan satu konspirasi daripada pihak musuh yang ingin melihat kucar-kacir terjadi, maka umat Islam perlu bangkit menyelesaikan isu ini dan cakna setiap tindak-tanduk musuh. Sebagai orang Islam kita hendaklah sedar dan tidak tertipu dengan agenda musuh dan perlunya sifat mengkaji dalam setiap individu muslim.
” Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalamsatu lubang dua kali. ” (Riwayat Bukhari & Muslim).
Umat Islam perlulah berpinsip dan punya jati diri, barulah akan digeruni oleh pihak musuh.
Umat Islam di seluruh dunia sedang diuji sehingga saat ini. Tragedi MH 17 membawa kita lebih dekat tentang keperitan yang dialami oleh saudara seIslam di Gaza, Syria, Mesir dan lain-lain lagi. Ianya bagaikan ‘medan’ untuk kita merasai sendiri keperitan yang selama ini kita hanya mendengar dan melihat. Ini tidak lain hanyalah ajaran Ilahi agar kita kembali bersatu, tidak melupakan saudara seIslam lain yang sedang ditimpa musibah, kembali kepada Tuhan yang Esa, Allah s.w.t dan meminta pertolongan dari-Nya.
Oleh:Nur Amalina Halil, Graduan Fakulti Pergigian, Universiti Al-Azhar, Kaherah