
ISKANDARIAH, 5 JUN : Serangan pihak musuh mutakhir ini, bukan lagi dengan peperangan senjata, tetapi dengan serangan pemikiran bagi mencairkan jati diri umat Islam. Sehubungan itu, ISMA Mesir cawangan Iskandariah telah menganjurkan forum perbincangan ilmiah bertajuk ‘Dikotomi Agama : Ancaman Liberalisme’ .
Program ini bertujuan menjelaskan apakah itu fahaman liberalisma, sejarah disebalik gerakannya serta ciri-ciri kesongsangannya kepada masyarakat melayu di Iskandariah. Majlis ini telah dihadiri oleh timbalan pengarah MARA Timur Tengah, Encik Faizal Bin Bashir, wakil ketua penerangan Kelab UMNO Damanhur, saudara Abdullah Kadir Bin Hillaluddin, pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Nik Rafie Bin Nik Zainal Alam dan ketua cawangan ISMA Mesir cawangan Iskandariah, Muhd Aiman Zainal Bin Bahrin.
Forum dimulakan dengan alunan ayat-ayat Al-Quran oleh saudara Amir Amrullah Bin Ali dan seterusnya ucapan kata alu-aluan oleh En. Faizal dan Ustaz Nik Rafie. Pada slot pertama forum, moderator Huzaifah Bin Ibrahim, penuntut tahun kedua jurusan perubatan Universiti Iskandariah telah menerangkan tentang maksud nama program tersebut diikuti dengan penerangan tentang asal-usul fahaman liberalisma oleh saudara Suhayl Bin Musauddin, mahasiswa jurusan perubatan tahun 4 Universiti Iskandariah. Ustaz Syamil Bin Mohd Esa, MA Syariah Islami Universiti Al-Azhar Kaherah menyambung pula dengan penerangan dari segi syara’ tentang kepentingan mengenal agenda liberalisma bagi umat Islam untuk bezakan antara haq dan batil secara lebih terperinci.
Slot kedua pula, telah dimulakan oleh saudara Suhayl, ahli panel pertama dengan penerangan tentang tokoh-tokoh liberal dan pencerahan konsep ‘muslim moderate’ yang mencairkan asas ajaran Islam sebenar dan peranan yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dalam agenda liberalisma di seantero dunia. Panelis kedua, Ustaz Syamil pula menyambung ulasan beliau mengenai maqasid syara’ yang kini sedang hangat dibicarakan dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi di Mesir mahupun di Malaysia. Penjelasan beliau merangkumi mengapa pada asalnya para fuqaha’ mendedahkan ilmu kepada orang awam dan menyeru agar jangan disalahtafsirkan.
Pada slot ketiga, panelis Suhayl telah menerangkan betapa pentingnya untuk merasa bangga, yakin dan izzah pada Islam, dan perlunya kita untuk berani dan tegas mempertahankan agama ini dan bukan hanya dengan memaafi semata-mata atau bersikap terlampau apologetik. Liberalisma menekankan aspek ‘human rights’ yang memberi kebebasan bersuara tanpa had dan kawalan dan menterjemah Al-Quran dengan sewenang-wenangnya serta pelbagai lagi taktik-taktik yang boleh memesongkan pegangan ajaran Islam yang sebenar, sama ada secara seluruhnya atau sekadar mencairkan walau sedikit jati diri umat Islam hari ini. Forum ini telah dihadiri oleh kira-kira 200 pelajar perubatan dan pergigian sekitar Iskandariah. Majlis bermula pada jam 8.30 malam di dewan Convention Centre dan bersurai pada jam 10.45 malam.