Blog Isma Mesir

WANITA, FEMINISME & ISLAM

April 19, 2014

 Saat tengah malam 8 Mac melabuhkan tirai, lampu-lampu di dewan persidangan akan dipadamkan, suis mikrofon ditutup, karpet merah digulung semula, gambar profil facebook penyokong Hari Wanita Sedunia akan diubah kepada asal. Delegasi yang tadinya rancak berbicara tentang hak-hak wanita akan pulang meneruskan kehidupan mereka. Siri laporan baru akan ditaip, dicetak dan dihimpunkan dalam fail yang dipenuhi abjad dan nombor. Barangkali membuahkan hasil, barangkali tidak.

Sementara mangsa sebenar- wanita yang tinggal jauh daripada hotel lima bintang tempat berlangsungnya pembentangan tersebut- masih terus ditindas dan dihimpit dalam lingkaran masalah yang dibincangkan dalam dewan persidangan. Ketidakadilan terhadap wanita seakan bakal terus berlaku dalam putaran dunia yang semakin didominasi penyalahgunaan kuasa maskulin.

feminisme-1

Penindasan Wanita Muslim

                    Demikian jua penindasan wanita dalam masyarakat Muslim bukanlah isu retorik feminis, yang lebih banyak menyumbang kepada mangsa terbabit daripada agamawan yang mengkritik mereka.  Realitinya semangat cauvinis patriarki melampau yang menyokong kekerasan telah menjalar masuk ke dalam rumah kaum Muslimin. Penyalahgunaan ayat al Quran untuk mendokong penguasaan keras terhadap perempuan dalam rumah tangga telah menjadi kebiasaan. Manakala tradisi sekelompok Muslim di sesetengah negara Islam telah disalahtafsir sebagai norma agama.

Berdasarkan kajian Thomson Reuters Foundation negara majoriti Muslim seperti Afghanistan, Pakistan dan Somalia ternyata menjuarai tempat teratas carta negara yang berbahaya untuk wanita. Afghanistan contohnya mempunyai kadar insiden keganasan rumah tangga setinggi 85 peratus dan merupakan satu-satunya negara dengan kadar bunuh diri wanita yang lebih tinggi daripada lelaki. Sementelahan pula 1,000 orang wanita dibunuh setiap tahun di Pakistan atas dasar ‘honour killing’ dan wanita seperti Mukhtaran Bibi terus menjadi mangsa pemerkosaan beramai-ramai sebagai penyelesaian konflik antara kasta. Akhirnya Islam kelihatan begitu sinonim sekali dengan penindasan wanita.

Mengapa dan bagaimanakah berlakunya dampak kemerosotan nilai-nilai Islam dalam implementasi hak wanita masyarakat Muslim kontemporari masa kini? Syeikh Seraj Hendricks dalam persidangan Wanita bersempena International Islamic Unity Conference di Washington DC pada tahun 1988 telah menyimpulkan fenomena keganasan dalam rumah tangga Muslim ini dengan begitu baik sekali. Beliau antara lain menyebutkan rumah tangga merupakan mikrokosmos yang mencerminkan makrokosmos simptom umat Islam secara amnya.

Sejajar dengan pemerhatian Akbar S. Ahmed tentang keadaan sosial wanita Muslim yang semakin merundum dan berpatah balik kepada tradisi jahiliah, beliau meringkaskan penindasan dan kolonialisme terhadap negara Islam sebagai antara faktor yang melahirkan keadaan kini. Lelaki, dalam keadaan memencilkan diri selepas penindasan cenderung untuk menzahirkan autoriti dan kuasa untuk menebus harga diri mereka yang tercalar. Malangnya, institusi keluarga menjadi mangsa galang ganti manifestasi kuasa setelah kaum Muslimin ini dicabut kekuasaan tampuk pemerintahan tanah sendiri dan diinjak maruah diri oleh kuasa imperialis.


feminisme-2

 

Namun demikian, kuasa penjajahan bukanlah sebab eksklusif yang melahirkan krisis hak wanita Muslim kurun ini. Jurang ketidakadilan antara lelaki dan perempuan telah bermula sejak penghujung kemunduran zaman Abbasiyah lagi. Kezaliman yang semakin meningkat, hedonisme, materialisme, dan formalisme tegar undang-undang Islam telah menambah jurang yang semakin melebar antara lelaki dan wanita. Namun penjajahan telah menyediakan ruang untuk penghabluran akhir kristal perbezaan ini.

Kemudian budaya keganasan yang mencorakkan rumah tangga Muslim akhirnya menjadi kebiasaan yang tidak dipersoalkan lagi seperti yang dilihat di sesetengah negara majoriti Muslim. Lebih malang lagi apabila wanita yang ditindas dinasihati dengan notasi qada’ qadar dan sabar oleh agamawan yang mereka temui. Akhirnya mereka berpaling daripada komuniti Muslim dan meminta pertolongan badan NGO feminis yang memberikan payung teduh saat dihujani tohmahan masyarakat yang sering menyalahkan mangsa.

Feminisme & Solusi Wanita

Gerakan feminisme kelihatan ‘in trend’di pelbagai negara barat bahkan menjadi penggerak catur politik dan konstruktusi sosial yang vokal selain mempengaruhi pembentukan polisi. Bibit-bibit feminisme dalam negara Islam juga mula berputik melalui Qasim Amin dan Huda Shaarawi serta diteruskan tokoh masa kini seperti Amina Wadud, Nawal El Saadawi mahupun Zainah Anwar. Akan tetapi, genealogi falsafah dan intelektual di sebalik kelahiran feminisme harus difahami umat dan bukan sekadar mencedok apa yang bersesuaian untuk diaplikasikan demi emansipasi wanita. Feminisme harus difahami daripada intipatinya. Keterburuan memperjuangkan hak asasi wanita melalui gerakan feminisme sebagai medium perjuangan tanpa memahami intipatinya bakal menjadi senjata yang memakan tuannya di kemudian hari.

Wanita di Eropah telah melalui fasa traumatik yang lebih membekas pada permulaan perabadan hingga melahirkan feminisme sebagaimana yang kita fahami pada hari ini. Seksualiti perempuan ditakrifkan oleh Sigmund Freud sebagai ‘kekurangan’ dari segi biologi mahupun psikologi berbanding dengan seksualiti lelaki, sehingga wanita dilihat sebagai manusia yang kurang sifatnya.

Wanita yang bersuami- ‘feme covert’ dalam undang-undang keluarga tidak mempunyai hak untuk memiliki harta sendiri berbanding wanita bujang- ‘feme sole’. Sang suami memegang hak pemilikan harta benda dan pilihan isterinya. Sedangkan wanita terpaksa bertahan dalam rumah tangga yang tidak stabil dek pengambilan alkohol tanpa kawalan hingga Temperance Movement- gerakan menghadkan pengambilan alkohol digiatkan oleh wanita.

Bahkan menurut sejarawan antara sebab yang mencetuskan Woman’s Suffrage –pergerakan hak mengundi wanita yang berkait rapat dengan gelombang feminisme pertama sebenarnya mencerminkan tuntutan wanita untuk mengundi undang-undang yang mengawal rumah arak, hak pemilikan harta, hak perlindungan anak-anak bahkan hak untuk menceraikan suami mereka yang alkoholik.


feminisme-3.png

Gelombang feminisme yang seterusnya pula mendapat nafas baharu dengan adaptasi teori Michael Foucault untuk mendukung perkembangan feminisme. Idea Foucault bahawa tafsiran tubuh dan seksualiti adalah binaan budaya bukan fenomena semula jadi telah membantu feminis mencabar segregasi peranan lelaki dan perempuan. Sejak awal 1970-an istilah gender digunakan feminis dengan pentakrifan yang berbeza daripada jenis kelamin secara biologi. Gender atau sifat feminin dan maskulin dilihat sebagai buah cetakan budaya sosial rekaan manusia yang dipaksakan oleh sistem yang dominan iaitu patriarki. Simone De Beauvoir, antara penyumbang teori feminisme, dalam formulanya yang popular mengatakan:

“One is not born, but rather becomes, a woman”
Seseorang tidak ‘dilahirkan’ sebagai wanita tetapi ‘dijadikan’ wanita

Judith Butler juga memainkan irama senada dengan mendefinisikan gender sebagai tabiat yang diulang dalam persekitaran yang  telah statik sedemikian hingga akhirnya kelihatan seperti hukum natural. Adapun Al Quran dengan jelas menyebutkan lelaki tidak seperti perempuan dan begitu juga sebaliknya, bukanlah disebabkan pembentukan budaya tetapi perbezaan berakar daripada hakikat fitrah lelaki dan perempuan sendiri.

Penolakan tersebut akhirnya membawa kepada penolakan esensialisme– bahawa terdapat esensi disebalik tiap material yang menentukan identitinya. Esensi tiap material tidak wujud, kesemuanya boleh dilabel dan dinamakan semula mengikut penimbangan manusiawi. Ini berbeza dengan sunnatullah yang disebutkan dalam al Quran pada permulaan penciptaan manusia.

Keupayaan menamakan sesuatu berdasarkan termanya yang tepat adalah keperluan manusiawi sepertimana Allah mengajarkan nabi Adam nama tiap sesuatu di dunia ini. Kecelaruan ini dilihat semakin meruncing, lesbian dipandang sebagai seks ketiga ‘the third sex’ karena orientasi seksualnya yang berbeza bahkan sesetengah feminis memandangnya sebagai emansipasi daripada ‘persekitaran yang statik’ tersebut.

Dengan demikian perjuangan feminisme menyimpang jauh daripada tujuan asal mereka dahulu. Agenda untuk membebaskan diri dari penindasan kaum lelaki akhirnya menjadi ‘pembebasan’ daripada norma manusia. Apa yang dibawa oleh tokoh feminisme di Malaysia sudah pun membuktikan penyimpangan mereka. Baru-baru ini, tuntutan COMANGO yang salah satunya memperjuangkan hak LGBT (Lesbian,Gay,Biseksual dan Transeksual) disokong oleh SIS (Sister In Islam).

feminisme-4

Sementara itu, penjenamaan ideologi feminisme sebagai Islamik feminisme membingungkan masyarakat Islam terutamanya wanita yang menginginkan kebebasan dan senjata ampuh daripada penindasan lelaki. Biarpun dari satu sisi tampak indah, Islamik feminisme tidak akan pernah mampu menyanggah masalah kaum wanita kerana ia tidak bebas daripada nilai-nilai budaya kelahirannya. Feminis Muslim akhirnya akan terpaksa menerima nilai kebebasan gender dan LGBT sepakej dengan feminisme yang mereka setujui.

Sedangkan sewaktu Eropah masih berselisih dengan ‘The cult of domesticity’, bahawa tempat wanita sejati hanyalah di rumah, wanita Muslim pula telah lama mengenali Khadijah Al Kubra sebagai seorang wanita bekerjaya yang menjalankan perniagaan merentasi sempadan negeri dan jantina. Pastinya bukan definisi wanita sejati sebagai suri rumah yang dicanangkan barat pada kurun ke-19. Hakikatnya kita tidak melalui pengalaman traumatik mereka untuk turut menggunakan formula yang sama.

Wanita dan Islam

Lady Elizabeth Craven, dalam travelognya A Journey Through the Crimea to Constantinople yang ditulis pada tahun 1789, tiga tahun sebelum teks feminis pertama ditulis (A Vindication of the Rights of Woman), menyatakan kekagumannya pada kebebasan pergerakan wanita di tempat awam pada zaman Khilafah Uthmaniyah.

Sementara Valentine de Saint-Point yang lantang menulis tentang seksualiti wanita di saat psiko-analisis Freud memandang psikologi dan seksualiti wanita sebagai suatu ketidaksempurnaan, mendapati Islam meraikan seksualiti wanita sebagai sempurna serta memberikan ruh spiritual yang gersang di barat. Namun Valentine de Saint-Point menyedari utopia timur yang diharapkannya telah luput dari jiwa umat Islam jua. Menghabiskan sisa hidupnya di Mesir setelah memeluk Islam di Tangier, beliau menyepikan diri daripada politik Mesir setelah mendapati bahawa nasionalisme Arab tidak lagi mendokong nilai Islami. Beliau menyedari sesuatu yang tidak disedari umat ini, masalahnya bukan pada kegagalan umat untuk mencedok solusi luar tapi kegagalan kita untuk kembali kepada apa yang ada di tangan kita-Islam.

حدثنا موسى بن إسماعيل: حدثنا وهيب: حدثنا أيوب، عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه قال:

 كانت أم سليم في الثقل، وأنجشة غلام النبي صلى الله عليه وسلم يسوق بهن، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (يا أنجش، رويدك سوقك بالقوارير)

[صحيح البخاري]

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Anas radiallahuanhu, sewaktu dalam perjalanan musafir , baginda Rasulullah  menyebutkan pesan kepada hamba sahaya yang membimbing unta yang membawa isterinya,“Wahai Anjasy, pelan-pelanlah kamu membawa qawarir (bekas kaca)”    

Tiap dari kita mengetahui bahawa tidak seperti logam lain yang perlu diketuk untuk dibentukkan, bekas kaca dibentuk dengan lembut melalui cara peniupan ‘glass blowing’ di atas api yang meleburkan hingga terbentuk indah seperti yang dikehendaki penciptanya. Bekas kaca juga apabila pecah bersepai tidak dapat digamkan kembali seperti sedia kala.

                    Maka Rasulullah berulang kali mengumpamakan wanita sebagai Al Qawarir yang harus ditatang hatinya dengan hormat dan berhati-hati. Dan wanita, seperti juga bekas kaca tersebut mampu bertahan dengan api cabaran yang membetuknya dewasa tetapi tidak akan mampu bertahan dengan tangan lelaki yang menghempasnya pecah. Seharusnya kaum lelaki menyedari bahawa dia tidak akan mampu hidup tanpa wanita, paling kurang dia memerlukan seorang wanita untuk melahirkannya ke dunia ini.

                    Sementara seorang wanita harus menyedari kebebasan yang harus dicarinya di dunia ini bukanlah emansipasi yang membuta sebaliknya kebebasan untuk terus berjuang dalam dunia yang sering mengambil kesempatan terhadap kerapuhan diri wanita. Demikian yang dimaksudkan dengan -‘Liberté ‘-  kebebasan sebagaimana yang diungkapkan Noor Inayat Khan, seorang wanita Muslim yang ditugaskan British sebagai ejen perisik ke Perancis sewaktu Perang Dunia Kedua. Kebebasan, kalimah terakhir yang diungkapkannya sebelum ditembak mati setelah tempoh penyiksaan yang sangat panjang dalam perjuangannya menentang kezaliman Nazi.

feminisme-5

 

Penulis:

Ummu Helma binti Hassan merupakan pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah. Dilahirkan dalam keluarga yang terdiri daripada sepuluh adik beradik lelaki dan begitu juga perempuan, beliau mendapati bahawa keadilan bukan terletak pada kesamarataan  gender.

Zainun Nadhirah bt Abdul Nasir merupakan pelajar perubatan tahun 4 Universiti Kaherah. Seorang aktivis ISMA Mesir, beliau percaya pemahaman cabaran ideologi masa kini penting untuk melahirkan mahasiswa beragenda Islam. 

 Artikel ini dimuat turunkan daripada pautan link http://kaherah.perubatan.org/2014/04/wanita-feminisme-islam/
Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini