
MANSURAH, 5 April : ISMA Mesir Cawangan Mansurah telah berjaya menganjurkan sebuah program Forum Ideologi COMANGO, Antara Hak Ilahi dan Hak Asasi pada 29 Mac yang lalu, bertempat di Yayasan Terengganu Mansurah. Program yang julung-julung kali diadakan di bumi Mansurah ini telah berjaya menarik penyertaan lebih daripada 120 mahasiswa dan mahasiswi baik dari bidang perubatan, pergigian dan farmasi di seluruh Mansurah.
Antara objektif yang digariskan oleh penganjur program ini adalah, untuk memberi pendedahan pada semua mahasiswa tentang bahaya tuntutan COMANGO dan ideologi sesat yang bersarang di dalamnya. Selain itu, program ini juga menjadi wasilah bagi ISMA Mesir cawangan Mansurah untuk memperkenalkan fikrahnya di samping menawarkan solusi pada masyarakat mahasiswa dalam menghadapi serangan ideologi yang berlaku.
Program yang dipengerusikan oleh saudara Mudassir Abd Rahim, pelajar Tahun Akhir Perubatan Manchester Universiti Mansurah ini telah bermula pada jam 7.10 malam, dengan bacaan Al Quran. Kemudian, Saudara Danial Asri yang merupakan pengarah program telah memberikan sepatah dua kata di samping menjelaskan tentang objektif forum ini dianjurkan.
Setelah itu, majlis diserahkan pada moderator forum, saudara Amar Ismat merangkap Ketua Unit Dakwah ISMA Mesir Cawangan Mansurah. Persoalan tentang COMANGO, UPR Process dan Feminisme telah dikupas dengan oleh baik oleh panel pertama, Saudari Nur’izzah Abd Majid merangkap Ketua Wanita ISMA Mansurah.
Manakala panel kedua , Saudara Muaz Mustapa telah menerangkan tentang tuntutan bahaya COMANGO dan isu berkaitan hak asasi manusia. Ust Solehhuddin Ismail, panel ketiga pula telah merungkaikan persoalan tentang bahaya COMANGO pada sruktur agama dan negara serta peranan mahasiswa dalam menghadapi ancaman kumpulan-kumpulan hak asasi manusia ini.
Mahasiswa juga dihiburkan dengan deklamasi puisi oleh vokalis Fetya, Ust Ahmad Fuad Jamil. Bakat beliau jelas terserlah, dengan sajak yang dideklamasikan itu berjaya memukau semua mahasiswa yang hadir.
Walaupun berlaku blackout di pertengahan forum, namun dengan kecekapan jawatankuasa pelaksana program, forum berjaya diteruskan sehingga ke penghujungnya.