
MADINAH NASR, 31 Mac : Kempen ‘Selamatkan Umat’ secara besar-besaran yang dijalankan ISMA Mesir antaranya menolak tuntutan-tuntutan Comango dengan agresif didakwa mempunyai unsur provokatif oleh sesetengah pihak. Antara yang tampil menyuarakan keprihatinan terhadap pendekatan ISMA ialah saudara Mohd Faiz Bin Mohd Yusop mahasiswa tahun akhir di Fakulti Perubatan Al-Azhar Kaherah yang juga merupakan mantan pengerusi Angkatan Belia Islam Malaysia, ABIM Mesir. Dakwa beliau, pendekatan provokatif yang diambil ISMA menutup ruang dakwah kepada non-muslim sebagai warganegara, seolah-olah non-muslim di Malaysia ialah kafir harbi.
“Kita perlu bezakan cara pergaulan antara individu bukan Islam dengan NGO atau badan-badan tempatan mahupun antarabangsa bukan Islam yang jelas membawa misi besar yang tersendiri dan dibiayai oleh agensi-agensi yang jelas membawa fahaman liberal dan sekular yang mampu mengganggu-gugat kedaulatan Islam di Malaysia” balas Ustaz Ahmad Solehuddin Bin Ismail penuntut tahun kedua di Fakulti Syariah Islamiah Universiti Al-Azhar Kaherah dan pada masa yang sama juga merupakan penuntut di Fakulti Dirasat Islamiah, American Open University in Cairo di semester ketiga.
Tambahan pula, Ustaz Solehuddin juga berpendapat bahawa dakwah secara individu kepada orang bukan Islam seperti jiran atau rakan-rakan adalah dengan pendekatan lemah lembut dan nilai-nilai murni seperti saling menziarahi dan bertegur sapa. Sebaliknya, dakwah terhadap badan-badan dan NGO yang jelas penentangannya terhadap pelaksanaan Islam yang memikul agenda kafir harbi perlu diberi pendekatan tegas dan agresif.
Menurut Ustaz Solehuddin lagi, umat Islam di Malaysia bersifat terlalu apologetic dan berlemah lembut sehinggakan umat Islam di Malaysia menjadi lemah, takut dan paranoid termasuk isu-isu yang sepatutnya umat Islam pertahankan dengan sirius seperti isu aqidah. Ustaz Solehuddin dan saudara Mohd Faiz kedua-duanya telah menyuarakan pandang sisi masing-masing di Forum Comango dan Masa Depan Malaysia pada 19 Februari yang lalu di Surau Wisma Sri Melaka anjuran ISMA Mesir cawangan Madinah Nasr.
Di samping itu, mengintai jendela Malaysia, isu kalimah Allah dan pencetakan Bible dalam bahasa Malaysia juga masih dipertahankan oleh pihak gereja termasuk segelintir umat Islam yang samada berkepentingan mahupun cetek fahaman syarak. Kenyataan Karpal singh yang menolak penegakan hudud pada Julai 2012 dan penghinaan Alvin dan Vivian terhadap umat Islam yang sedang berpuasa dapa tahun lepas adalah antara peristiwa yang amat wajar dijadikan iktibar.
Dalam pada itu, ISMA telah berjaya menyerahkan laporan dan pungutan tandatangan 740, 000 rakyat Malaysia bagi menentang pelaksanaan tuntutan Comango di tanah air. Laporan dan pungutan tandatangan yang mengandungi 200 helai mukasurat itu telah diserahkan kepada Dato’Hamzah Zainuddin, Timbalan Menteri Luar Negeri di Wisma Putra oleh Tuan Haji Aminuddin Yahaya, Timbalan Presiden ISMA pada awal Mac ini. Kini, kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan untuk menolak tuntutan-tuntutan Comango tersebut.