Blog Isma Mesir

K-TAM 3 : Kejayaan Al-Fateh Hasil Tarbiyah Dari Kecil

April 4, 2014

image

ABBASIYYAH, 4 April : “Proses pentarbiyahan Sultan Muhammad Al-Fateh dari usia muda oleh guru-gurunya telah berjaya membina peribadi unggul seorang rijal yang agung, yang menyusun strategi dengan luar biasa untuk membuka sebuah kota yang istemewa kekuatannya. Maka jelas terbukti bahawa tidak mungkin peribadi hebat pahlawan ini dapat dibina tanpa melalui tempoh pendidikan jiwa, rohani, akal dan jasmani yang sempurna”, kata saudara Zulfalhie bin Mohamad, mahasiswa sains perubatan tahun tiga di Universiti Ain Shams. Beliau berkata demikian semasa mengendalikan Kelas Tamadun (K-TAM) yang bertajuk ‘Pembukaan Konstantinopal’ pada 19 haribulan yang lalu.

Menurut beliau lagi hadis Nabi ada berbunyi,  “Akan dibuka kota Konstantinopal dan Rom, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya” dan mengikut tafsiran para ulama’, Sultan Muhammad Al-Fateh merupakan pemimpin tersebut manakala bala tenteranya adalah terntera tersebut seperti yang dinyatakan di dalam hadis.

ISMA Mesir cawangan Abbasiyyah-Sayeda dalam usaha menyedarkan mahasiswa akan akan kegemilangan tamadun Islam terdahulu yang perlu dicontohi meneruskan siri K-TAM yang ketiga yang bertempat di Beyt Ummah, Abbasiyyah.  Kelas mingguan itu telah dihadiri oleh mahasiswa yang sama-sama berbincang dan mengkaji sejarah pembebasan kota Konstantinopal.

Antara kupasan yang dibincangkan adalah perwatakan dan perjuangan pahlawan Islam Sultan Muhammad Al-Fateh, garis masa penaklukan kota Konstantinopal oleh tentera Islam serta faktor dan kesan kejayaan umat Islam ketika itu. Di samping itu, K-TAM 3 turut membincangkan strategi-strategi peperangan yang digunapakai oleh tentera Islam di bawah kepimpinan Al-Fateh yang memberi sumbangn besar terhadap pembukaan kota tersebut.

K-TAM  yang diadakan secara berkala ini bertujuan menyajikan kupasan peradaban Islam yang lalu secara berilmiah untuk dijadikan pengajaran dalam kehidupan seharian mahasiswa Malaysia di Mesir. Program ini akan diteruskan lagi pada minggu hadapan dengan kupasan yang lebih menarik. ISMA Mesir juga menjemput semua mahasiswa yang berhampiran mahupun berjauhan untuk bersama-sama menghadirkan diri ke K-TAM yang kami anjurkan.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini