
MADINAH NASR, 31 Mac: Keperluan untuk memadamkan jurang antara gerakan Islam dan mewujudkan ukhuwah Islamiyah untuk menghadapi serangan ideologi kini amat ditekankan oleh Ustazah Norakhilah Baharin dalam program Hari Wanita Islam (HARWANIS 3.0) yang lepas.
“Pada tahun 1998, gerakan feminisma mula berapak di Malaysia. Gerakan ini memperjuangkan emansipasi wanita yang diperjuangkan oleh Sisters In Islam(SIS)”, perkara ini dikatakan bahaya oleh Ustazah Norakhilah kerana mereka mempunyai rangkaian besar di seluruh dunia dan juga mendapat tajaan kepada mereka yang ditaklifkan untuk mengkaji Al-Quran tetapi realitinya mereka mengkajinya mengikut radikal akal semata-mata.
Menurut Ustazah Norakhilah, hari demi hari golongan feminis semakin berani sehingga hukum Allah diperlekehkan. Mereka mencadangkan Malaysia menjadi seperti Singapura dalam menyelesaikan isu hamil anak luar nikah. Jika seseorang remaja hamil, remaja tersebut boleh mengugurkan kandungannya di klinik atau hospital dan doktor perlu merahsiakannya daripada keluarga remaja tersebut. Sekarang di Malaysia, gelaran anak luar nikah telah ditukarkan kepada anak tidak sah taraf. Hal ini sedikit sebanyak menghilangkan sensitiviti masyarakat tentang zina walhal perbuatan zina ialah dosa besar dan dalam Al-Quran juga telah mengecam keras tentang perbuatan terkutuk ini.
“Suara mereka lantang manakala suara kita bisu. Adakah kita sanggup berdiam diri?” kata beliau. Salah satu saranan Ustazah Norakhilah adalah dengan membuat jaringan sesama muslim. Golongan feminisme ini, menurut beliau mempunyai jaringan yang cukup kuat dan mereka mengadakan seminar setiap tahun bagi mengatur langkah gerakan mereka. “Kita perlu tahu perkara asas yang sepatutnya kita perjuangkan. Penambahan bahan bacaan dan penguasaan bahasa Inggeris sangat penting dalam menghadapi golongan ini” tekan beliau dalam ucapan tersebut
Akhirnya Islamlah satu-satunya solusi dalam menghadapi masalah wanita bukannya hak asasi manusia yang secara terang terangan melanggar syariat.
Ustazah Norakhilah Baharin merupakan Ketua Wanita ISMA Seri Iskandar, Perak. Beliau telah dijemput untuk membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Tinjauan Feminisme di Malaysia” dalam program HARWANIS 3.0 baru-baru ini.