Blog Isma Mesir

Islam Liberal Cerminan Muktazilah Zaman Moden

March 7, 2014

IMG-20140301-WA0024
ABASIYYAH, 7 Mac : “Gerakan Islam Liberal yang mengancam umat Islam kini menyerupai fahaman Muktazilah yang pernah meracuni fikiran umat Islam suatu masa dahulu. Titik persamaan antara kedua-dua fahaman ini jelas kelihatan dalam konteks meletakkan martabat akal lebih tinggi atau sama tinggi dengan wahyu” kata Ustaz Assiddiq Bin Fauzan, penuntut di Kuliah Usuluddin tahun akhir Universiti Al-Azhar dalam Seminar Kebangkitan Pemikiran Islam tempoh hari.

Pembentang kertas kerja bertajuk ‘Pengalaman Ulama’ Silam Menghadapi Muktazilah dan Aplikasi pada Islam Liberal’ itu menambah bahawa langkah pertama untuk berhadapan dengan Islam Liberal ialah dengan memberi amaran kepada masyarakat tentang bahaya pelopor fahaman ini. Langkah ini selari dengan pendekatan ulama’ silam, Abu Hayyan dalam mengkritik secara terbuka kandungan Tafsir Al-Kasyaf yang dikarang oleh ulama’ besar muktazilah iaitu Al-Zamakhsyari. Kritikan sekeras-kerasnya oleh Abu Hayyan terhadap fahaman Muktazilah itu merupakan pendekatan melabel sesuatu perkara yang salah dengan penglabelan yang tepat agar masyarakat tidak keliru.

Dalam pembentangan selama dua jam itu, Ustaz Assiddiq juga merumuskan bahawa arus Islam Liberal yang melanda umat Islam hari ini jauh lebih bahaya daripada fahaman Muktazilah kerana tempat rujukan Islam liberal ialah barat dan memang sengaja dihidupsuburkan dan dibawa masuk ke dalam dunia umat Islam oleh musuh-musuh Islam sebagai konspirasi untuk memusnahkan Islam itu sendiri.

Selain itu, beliau juga menegaskan bahawa sebarang perdebatan atau dialog yang ingin dijalankan dengan golongan Islam Liberal ini perlulah dilakukan dengan penuh berhati-hati dan displin yang ketat kerana dengan meletakkan fahaman ini dalam ruang debat, secara tak langsung sebenarnya kita telah meletakkan fahaman ini satu martabat dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang bersumberkan Al-Quran dan Sunnah yang asli. Sejarah telah membuktikan bahawa pentas debat telah diambil kesempatan oleh golongan Muktazilah ketika zaman Khalifah Al-Makmun untuk menyebarkan fahaman mereka.

Seminar Kebangkitan Pemikiran Islam merupakan sebuah program anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir dan Majlis Ulama’ ISMA (MUIS) Mesir. Program yang berlangsung di Dewan Malaysia Abasiyah Kaherah itu dihadiri oleh mahasiswa Malaysia dari latar belakang dan jurusan yang pelbagai.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini