
MADINAH NASR, 26 Januari : Pengerusi ISMA Mesir Ustaz Qamarul Naim Bin Mohd Faizal semalam menyatakan sokongan beliau berkenaan pendirian Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, PMRAM yang menzahirkan penolakannya terhadap ancaman terbaru perlembagaan negara Malaysia, Comango.
“ISMA Mesir dan saya secara peribadi menyambut baik kenyataan PMRAM berhubung isu Comango. Saya menyifatkan pendirian ini sebagaimana pendirian yang bertanggungjawab. Pendirian ini jelas menunjukkan di sana terlalu banyak ruang untuk mahasiswa Mesir bersepakat dan bekerjasama. Sepertimana yang semua sedia maklum ISMA kini sedang melancarkan kempen besar-besaran bagi menolak dan membuka pekung siapa yang bersekongkol dan terlibat dengan Comango”, kata Ustaz Qamarul ketika disoal wartawan ISMA Mesir semalam.
“Semoga pendirian ini membantu dalam kempen bagi menolak Comango dari terus wujud. Semoga mahasiswa Mesir menjadi pemangkin kepada ketamadunan Malaysia akan datang”, tambahnya lagi.
PMRAM telah menyatakan bantahan kerasnya terhadap Comango pada 11 Januari yang lalu melalui laman sosial Facebook secara gambar infografik.
Comango (Coalition of Malaysia NGOs) merupakan gabungan 54 buah NGO di Malaysia yang menuntut pelbagai hak asasi manusia di tanah air yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wa Jamaah seperti menyokong Syiah, LGBT dan membela orang murtad.