Blog Isma Mesir

ISMA MESIR LANCAR SERUAN MAHASISWA UNGGUL MEMIMPIN UMMAH

October 14, 2026

Dalam mendepani perkembangan dunia mahasiswa yang semakin mencabar, pembinaan generasi mahasiswa yang cemerlang dari aspek akademik, kepimpinan dan sahsiah perlu diberikan perhatian penting. Mahasiswa bukan sekadar dituntut untuk mencapai kejayaan akademik semata-mata, bahkan perlu memiliki hala tuju yang jelas, berprinsip serta kesedaran terhadap tanggungjawab mereka dalam membangunkan masyarakat dan ummah.

Sehubungan dengan itu, ISMA Mesir telah memperkenalkan Seruan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah sebagai sebuah usaha pembinaan mahasiswa agar sentiasa fokus dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai generasi pelapis kepimpinan ummah kelak.

Seruan ini komited untuk membentuk mahasiswa unggul melalui pendekatan pembangunan insan secara menyeluruh, merangkumi kecemerlangan akademik, pembinaan kepimpinan, pemantapan syakhsiah dan pengukuhan kefahaman Islam.

Usaha ini turut menekankan pembentukan kepimpinan yang beragenda dan berprinsip, di samping menggalakkan penglibatan aktif mahasiswa dalam pembangunan komuniti serta usaha mengambil cakna isu ummah.

Bagi merealisasikan matlamat tersebut, Seruan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah menggariskan lapan seruan utama sebagai panduan pembinaan mahasiswa.

 

Seruan pertama : Cemerlang Akademik

Mahasiswa perlu menjadikan kecemerlangan akademik sebagai salah satu keutamaan sepanjang tempoh pengajian. Hal ini menuntut pembudayaan ilmu yang tinggi, penguasaan mendalam dalam bidang pengkhususan serta pembangunan kemahiran profesional yang relevan dengan keperluan semasa. Kecemerlangan akademik bukan sekadar diukur melalui pencapaian peperiksaan, bahkan perlu dicerminkan dengan kesungguhan mahasiswa dalam menuntut ilmu dan mempersiapkan diri untuk menyumbang kepada masyarakat.

Seruan kedua : Berkepemimpinan

Mahasiswa perlu dibentuk menjadi individu yang mempunyai kemampuan untuk memimpin, mengurus organisasi, membuat keputusan dan berkomunikasi secara berkesan. Pengalaman berpersatuan dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti kemahasiswaan merupakan ruang penting untuk membina kematangan, mengasah kebolehan menyelesaikan masalah serta memupuk semangat kerja berpasukan. Kemahiran ini menjadi bekalan penting bagi melahirkan pemimpin yang mampu memikul amanah dan menghadapi cabaran pada masa hadapan.

Seruan ketiga : Beragenda

Mahasiswa perlu mempunyai hala tuju yang jelas serta memahami matlamat jelas yang ingin dicapai dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh hanya mengikuti arus semasa atau menyelesaikan tuntutan pengajian sahaja, sebaliknya perlu memahami peranan yang boleh dimainkan dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat.

Seruan keempat : Sahsiah Terpuji

Pembinaan mahasiswa unggul tidak akan sempurna tanpa pemantapan sahsiah dan akhlak. Mahasiswa perlu menampilkan peribadi yang mulia, disiplin yang mantap serta profesionalisme dalam setiap tindakan. Nilai-nilai ini perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian, sama ada dalam hubungan sesama rakan, interaksi bersama masyarakat mahupun pelaksanaan tanggungjawab kepada diri sendiri. Sahsiah yang terpuji menjadi asas kepada pembentukan individu cemerlang yang unggul.

Seruan kelima : Kefahaman Islam Wasatiy

Mahasiswa perlu memiliki kefahaman Islam yang seimbang dan menyeluruh, berteraskan ilmu, hikmah serta kefahaman terhadap realiti semasa. Dengan kefahaman ini, mahasiswa diharapkan mampu berinteraksi dengan masyarakat secara bijaksana, membuat pertimbangan yang tepat dan menghadapi perbezaan secara terbuka dan berlapang dada.

Seruan keenam : Berprinsip

Dalam menghadapi pelbagai pengaruh pemikiran, ideologi dan budaya, mahasiswa perlu mempunyai prinsip yang kukuh berlandaskan ajaran Islam. Keteguhan prinsip bukan bermaksud menolak setiap perkara baharu, sebaliknya menuntut kemampuan menilai sesuatu berdasarkan neraca ilmu dan syariat. Mahasiswa perlu memiliki pendirian yang jelas, tidak mudah terpengaruh oleh arus yang bercanggah dengan nilai Islam serta berani mempertahankan kebenaran dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Seruan ketujuh : Membangun Komuniti

Mahasiswa turut mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti di sekeliling mereka. Penglibatan dalam program muzakarah, aktiviti sukan, program kemasyarakatan dan lain-lain lagi, merupakan antara ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengukuhkan ukhuwah, membina jaringan kenalan serta mewujudkan persekitaran mahasiswa yang bersama membangun ke arah kebaikan. Melalui usaha ini, mahasiswa bukan sahaja membangunkan potensi diri, malah turut memainkan peranan dalam membina komuniti yang lebih kukuh dan harmoni.

Seruan kelapan : Cakna Ummah

Mahasiswa perlu memiliki kepekaan terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan ummah, sama ada pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Ia termasuk isu Palestin, persoalan masyarakat Melayu sejagat, krisis pembinaan remaja, cabaran ekonomi, isu kemanusiaan dan kebajikan mahasiswa antara perkara yang menuntut perhatian serta kesedaran generasi muda. Kepekaan ini perlu disertai dengan kefahaman yang mendalam, sikap bertanggungjawab dan kesediaan untuk mengambil tindakan yang bersesuaian. Mahasiswa tidak seharusnya menjadi pemerhati semata-mata, sebaliknya perlu berusaha memahami permasalahan dan menyumbang kepada penyelesaiannya mengikut kemampuan masing-masing.

Pembentukan seruan Mahasiswa Unggul Membina Ummah ini memerlukan komitmen dan usaha kerja sama seluruh pihak yang prihatin terhadap masa depan generasi muda.

Justeru, ISMA Mesir mengajak semua pihak untuk bersama-sama menjayakan Seruan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah demi melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya dalam pengajian, bahkan bersedia memikul amanah kepimpinan dalam menyumbang kepada pembangunan ummah.

 

Oleh : Ust Irfan Mohiddin

JK Biro Media & Dakwah ISMA Mesir

 

#ISMAMesir
#MahasiswaUnggulMemimpinUmmah

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini