

KAHERAH, 22 Mei : Lanjutan Pilihanraya Presiden Mesir yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, semua institusi pengajian tinggi di Mesir telah diumumkan cuti bermula pada 22 sehingga 31 haribulan Mei 2014.
Pengumuman cuti ini telah disahkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Mesir. Cuti selama seminggu ini dikuatkuasakan bagi mengatasi kebimbangan pihak universiti akan berlakunya pertempuran antara mahasiswa anti-kudeta dan pihak keselamatan Mesir dalam perkarangan universiti seperti yang terjadi pada sekitar Januari yang lepas.
Para mahasiswa dan mahasiswi di seluruh Mesir ketika ini sedang menjalani peperiksaan akhir semester. Menurut kemeterian tersebut lagi jadual peperiksaan tidak akan ditunda sepertimana yang berlaku pada sesi lepas yang mengakibatkan penundaan beberapa kali jadual peperiksaan akhir semester dan memberi beban kepada mahasiswa Malaysia yang terlibat dalam Ops Piramid 2.
Pertempuran yang pernah berlaku di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh Mesir termasuk universiti masyhur antarabangsa, Universiti Al-Azhar telah menyaksikan tragedi berdarah yang telah mengorbankan sejumlah besar para mahasiswa dan mahasiswi Mesir dan selebihnya dipenjarakan.
Berikutan itu, ISMA Mesir menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi di perlembahan Nil untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menggunakan seoptimum mungkin masa cuti yang diberikan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah dan berkualiti. Sesungguhnya, tiada penyesalan yang lebih besar bagi seorang pemuda yang mempunyai kekuatan dan kemahuan yang tinggi apabila masa mudanya dipenuhi dengan agenda-agenda yang remeh dan tidak memberikan keuntungan buat diri dan ummah.