Blog Isma Mesir

KUNJUNGAN PRESIDEN ISMA KE KEDUTAAN BESAR MALAYSIA KAHERAH (KBMK)

October 19, 2026

KAHERAH – Gagasan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah yang dibawa oleh ISMA Mesir terus mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak apabila usaha tersebut turut mendapat sambutan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah (KBMK).

Sokongan tersebut dizahirkan menerusi kehadiran YBhg. Dato’ Shamsul Najmi bin Shamsuddin, Menteri Penasihat Pendidikkan Malaysia Mesir (EME), ke Hari Apresiasi ISMA Mesir bagi merasmikan slogan baharu ISMA Mesir, “Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah”. Majlis berkenaan turut mendapat sokongan daripada beberapa persatuan mahasiswa dan badan kebajikan, antaranya PAKEM, MIFTAH, ABIM dan HALUAN, yang bersama-sama menyambut seruan ke arah pembangunan mahasiswa yang lebih berkesan dan beragenda.

Dalam usaha memperkukuh gagasan tersebut, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Suhaib Ar-Rumy bin Selamat, bersama Pengerusi ISMA Mesir, Ustaz Usaid bin Zaidi, telah mengadakan kunjungan hormat ke KBMK pada Selasa, 29 September 2026. Kunjungan tersebut menjadi platform untuk mengetengahkan aspirasi ISMA Mesir serta membincangkan peranan dan tanggungjawab mahasiswa Malaysia di Ardhu Kinanah dalam mendepani cabaran semasa.

Perbincangan bersama YBhg. Menteri Penasihat Pendidikkan Malaysia Mesir itu turut menyentuh kepentingan membangunkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki kematangan pemikiran, kekuatan sahsiah dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab kepimpinan apabila kembali ke tanah air kelak. Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berhubung potensi kerjasama strategik antara ISMA Mesir dengan pihak kedutaan dalam memperkukuh pembangunan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka di Mesir.

Sokongan dan keterbukaan terhadap perbincangan tersebut memberikan ruang kepada ISMA Mesir untuk terus memperluas usaha membangunkan projek mahasiswa yang lebih tersusun, menyeluruh dan berteraskan matlamat jangka panjang.

 

Membina Semula Keunggulan Mahasiswa

Di sebalik gagasan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah, terdapat keperluan mendesak untuk menilai kembali kedudukan dan peranan mahasiswa pada hari ini. Kehidupan di bumi Mesir bukan sekadar medan menimba ilmu dan memperoleh kelayakan akademik, bahkan merupakan ruang penting untuk membina jati diri, mematangkan pemikiran serta mempersiapkan diri sebagai generasi yang bakal menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.

Namun begitu, mahasiswa hari ini turut berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk isu pergaulan dan sosial, pengabaian terhadap tanggungjawab akademik serta ketiadaan hala tuju dan agenda pembangunan diri yang jelas. Cabaran-cabaran ini menuntut suatu pendekatan yang lebih tersusun agar tempoh pengajian di Mesir tidak berlalu tanpa persediaan yang benar-benar bermakna untuk masa hadapan.

Justeru, pembinaan mahasiswa unggul perlu digerakkan melalui suatu sistem pembangunan yang mampu membimbing mahasiswa dalam pelbagai aspek kehidupan, merangkumi kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah, kepimpinan, kemahiran dan kesedaran terhadap tanggungjawab ummah. Melalui pendekatan ini, mahasiswa diharapkan dapat melihat alam pengajian sebagai medan persediaan yang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya sebelum kembali berkhidmat di tanah air.

Sejajar dengan matlamat tersebut, ISMA Mesir komited untuk terus mengorak langkah melalui pelaksanaan pelbagai usaha strategik. Antaranya termasuk memperkukuh kerjasama dengan persatuan-persatuan mahasiswa, membentangkan rangka projek pembangunan kepada pegawai atase negeri serta menjalinkan hubungan dengan pelbagai pihak yang berpotensi menjadi rakan strategik dalam menjayakan agenda pembangunan mahasiswa.

Usaha ini memerlukan kerjasama yang merentasi persatuan dan batas organisasi, dengan setiap pihak memainkan peranan berdasarkan kepakaran, pengalaman serta keupayaan masing-masing. Pembangunan mahasiswa tidak seharusnya digalas oleh satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kesepakatan dan kesungguhan bersama dalam membina persekitaran yang menyokong pertumbuhan mahasiswa secara menyeluruh.

Kunjungan hormat ke KBMK ini diharapkan menjadi antara langkah awal yang bermakna dalam merealisasikan gagasan Mahasiswa Unggul Memimpin Ummah. Lebih daripada sekadar pertemuan rasmi, usaha ini membawa harapan agar wujud kerjasama yang berterusan, perancangan yang lebih strategik dan pelaksanaan program yang benar-benar memberikan kesan kepada kehidupan mahasiswa.

Akhirnya, keunggulan mahasiswa tidak hanya diukur melalui kejayaan akademik atau pencapaian individu, tetapi juga melalui keupayaan membina diri, memimpin masyarakat dan memikul amanah apabila diperlukan. Dengan kesatuan usaha dan hala tuju yang jelas, mahasiswa Malaysia di Mesir diharapkan mampu memanfaatkan setiap ruang yang tersedia untuk mempersiapkan diri menjadi generasi yang berilmu, berprinsip dan bersedia memimpin ummah.

Ustaz Usaid bin Zaidi

Pengerusi ISMA Mesir

#ISMAMesir

#MahasiswaUnggulMemimpinUmmah

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini