Blog Isma Mesir

Ucapan Tahniah | Graduan Malaysia Pertama Sarjana (Master) Usul Fiqh, Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Al-Azhar, Mesir

December 10, 2024

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Ustaz Hikmat Bin Mohd Esa yang telah berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau telah berjaya menyelesaikan pengajian tersebut pada 25 November 2024, dengan tajuk tesisnya iaitu “Ijtihad Maqasid dalam Kitab Bidayah al-Mujtahid wa Nihayah al-Muqtasid dari Bab Suci hingga Akhir Bab Hukum Hakam Orang Mati”.

Beliau yang juga pernah merangkul anugerah Tokoh Imam Syafie ketika Majlis Graduasi yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Mesir (KBMK) pada tahun 2018, telah berjaya memperoleh keputusan Mumtaz (cemerlang) dalam pengajian peringkat sarjana ini yang pastinya menjadi bukti ketekunan dan kesungguhan beliau dalam perjalanan menuntut ilmu di bumi Mesir ini.

Kajian penulisan tesis yang telah disiapkan menunjukkan kedalaman pemahaman dan penguasaan bidang fiqh serta ijtihad maqasid yang relevan dengan isu-isu semasa. Usaha dan kesungguhan beliau dalam meneroka kajian ini pasti memberi sumbangan besar kepada dunia ilmiah, khususnya dalam konteks pengembangan pemikiran fiqh yang lebih dinamik dan sesuai dengan perkembangan zaman.

Selain daripada kejayaan akademiknya, Isma Mesir juga mengenang jasa beliau yang pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Isma Mesir dan Pengerusi Majlis Ulama Isma Mesir beberapa tahun yang lalu. Beliau telah banyak memberi sumbangan dalam menyemarakkan kegiatan keilmuan serta memperkukuh ukhuwah di kalangan mahasiswa Malaysia di Mesir.

Kami berdoa semoga dengan ilmu yang diperoleh, Ustaz Hikmat dapat terus memberikan sumbangan yang lebih besar kepada masyarakat, serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dalam meneruskan usaha menuntut ilmu sekaligus menyumbang kepada pembinaan ulama ummah.

Tahniah sekali lagi diucapkan dan semoga Allah SWT terus memberkati segala usaha dan perjuangan Ustaz Hikmat dalam menegakkan pena ilmiah serta memberi manfaat kepada masyarakat. Semoga kejayaan ini menjadi batu loncatan kepada kejayaan-kejayaan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

#Graduan
#Sarjana
#IsmaMesir
#JiwaKuatPimpinMasyarakat

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini