MADINAH NASR, 14 September – Isma Mesir memenuhi jemputan menghadiri Majlis Jamuan Aidiladha anjuran ABIM Mesir yang bertempat di Teratak ABIM Mesir Hayyu Sabie’, Kaherah jam 8 malam semalam. Majlis yang mengumpulkan pelbagai persatuan pelajar termasuk tuan rumah sendiri ABIM Mesir, Isma Mesir, Haluan Mesir, IKRAM Mesir dan juga gabungan bersama beberapa agensi seperti Akademi Al-Quran Medic, Daulah Medic dan sebagainya memeriahkan lagi sambutan AIdiladha 1437H ini di samping merapatkan dan menghubungkan silaturrahim antara persatuan-persatuan pelajar di Mesir.
Menurut Exco Penerangan Isma Mesir, Ustaz Ahmad Naim Bin Mohd Rais, Isma Mesir menyambut positif usaha-usaha persatuan pelajar di Mesir untuk saling menerima kepelbagaian perbezaan pendapat di kalangan persatuan mahupun masyarakat pelajar dan ia selari dengan salah satu dari empat seruan Isma Mesir iaitu Keterbukaan.
Beliau turut menggesa pimpinan-pimpinan persatuan pelajar di Mesir untuk sama-sama menghulurkan tangan kesepakatan dan tinggalkan budaya kejumudan yang sudah lama menghantui pelajar-pelajar yang menuntut di bumi anbiya’ ini.
“Isma Mesir menyeru kepada seluruh mahasiswa dan mahasiswi agar terbuka dalam menangani masalah kepelbagaian perbezaan kerana isu keterbukaan ini adalah isu fundamental di kalangan masyarakat pelajar di mana-mana tempat sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Isma Mesir juga sentiasa komited dalam usaha-usaha keterbukaan di kalangan masyarakat pelajar Malaysia di perlembahan Nil demi membentuk mahasiswa dan mahasiswi yang matang,” ujar beliau.
Wakil Isma Mesir dihadiri oleh Pengerusi Isma Mesir, Ustaz Umar Farouq Bin Morhalim bersama Exco Dakwah, Ustaz Ahmad Solehhuddeen Bin Ismail dan Exco Penerangan, Ustaz Ahmad Naim Bin Mohd Rais.