Blog Isma Mesir

MUIS Mesir Anjurkan Kelas Pengajian Fiqh Syafie

August 17, 2026

Tanpa syak lagi, ilmu merupakan asas penting dalam kehidupan seorang muslim. Dengannya, seseorang dapat mengenali jalan yang benar serta mengetahui bagaimana sesuatu amalan itu dilaksanakan bertepatan dengan tuntutan syariat. Cukuplah hadis Nabi ini menunjukkan besar tuntutannya ke atas setiap individu muslim:

قال رسول الله ﷺ: «طلب العلم فريضة على كل مسلم»

“Menuntut ilmu (fardhu ain) adalah wajib bagi setiap Muslim” (HR Tabrani)

Ilmu Fardhu Ain adalah pengetahuan tentang syariat, hukum-hakam agama yang wajib ke atas setiap muslim mukallaf; mempelajarinya sendiri, dan kewajipan itu tidak hilang dengan adanya orang lain yang melakukan. Ini agar menjadikan imannya sahih dan segala ibadat dan muamalah hariannya menepati syarak.

Mahasiswa Al-Azhar Di Mesir

Al-Azhar sebuah institusi ilmu yang terkenal dan menjadi rujukan ilmu serata dunia islam sejak zaman berzaman, ia menjadikan setiap penuntut ilmu di sini sentiasa menjadi harapan masyarakat dalam membimbing mereka mendepani segala kejahilan bermula dari kejahilan individu sehinggalah kejahilan di dalam menangani isu-isu semasa ummah.

Oleh itu, keberadaan mahasiswa di sini seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkuhkan kefahaman terhadap ilmu agama, di samping membina hubungan dengan para ulama dan ahli ilmu. Mahasiswa unggul bukan semata-mata cemerlang dalam bidang akademiknya. Bahkan tertanam dalam dirinya sifat mencintai ilmu, iaitu dengan sentiasa berusaha menambah pengetahuan dan kefahaman agama sebagai wasilah pembentukan diri dan kematangan pemikiran.

Selari dengan sebuah hadis Nabi s.a.w:

«اغدُ عالِمًا، أو مُتَعَلِّمًا، أو مُستَمِعًا، أو مُحِبًّا، ولا تَكُنِ الخامِسَ فتَهلِكَ»

قال عَطاءُ بنُ مُسلمٍ: فقال لي مِسعرٌ: زِدتَنا خامِسةً لم تَكُنْ عِندَنا، وقال: والخامِسةُ أن تُبغِضَ العِلمَ وأهلَه.

“Jadilah orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu, atau orang yang mencintai ilmu. Janganlah engkau menjadi yang kelima, kerana engkau akan binasa.”

‘Aṭā’ bin Muslim berkata: “Mis‘ar menambahkan kepadaku satu yang kelima yang sebelum ini tidak kami ketahui.” Beliau berkata: “Yang kelima itu ialah engkau membenci ilmu dan orang-orang yang berilmu.”

Hadis riwayat al-Tabrani dengan sanad yang dhaif penisbahannya kepada Nabi s.a.w. Namun sahih penisbahannya kepada Ibn Abbas dengan lafaz: “Jadilah orang yang berilmu, atau orang yang menuntut ilmu, atau orang yang mendengar ilmu; dan janganlah engkau menjadi golongan yang keempat, nescaya engkau akan binasa.” (al-Darimi)

Inisiatif MUIS Mesir

Menyedari kepentingan ini, MUIS Mesir mengambil inisiatif untuk menganjurkan Kelas Fiqh Syafi‘i sebagai salah satu usaha menyediakan ruang kepada para mahasiswa untuk mendalami ilmu fiqh secara lebih tersusun.

Pengajian yang berteraskan mazhab Syafi‘i ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan yang lebih dekat kepada para mahasiswa terhadap tradisi keilmuan Islam yang telah diwarisi dan dikembangkan oleh para ulama sepanjang zaman.

Semoga dengan pengajuran ini menjadi salah satu langkah dalam menyuburkan budaya ilmu dalam kalangan mahasiswa. Di samping mengejar pencapaian akademik, mereka perlu membina bekalan ilmu yang dapat dimanfaatkan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat apabila kembali ke tanah air kelak.

Kerana seorang mahasiswa yang membawa pulang ilmu bukan sahaja membawa pulang segulung ijazah, tetapi diharapkan turut membawa pulang kefahaman agama yang dapat membimbing masyarakat.

 

17 Ogos 2026

 

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini

Kalam Pengerusi Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah

Kalam Pengerusi Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah

Mahasiswa unggul bukan sekadar penuntut ilmu, bahkan merupakan pemegang amanah untuk menghidupkan syiar Islam di setiap tempat yang dijejaki. Keunggulan seorang mahasiswa tidak diukur pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut…
Baca Lagi