Blog Isma Mesir

ISMA MESIR PERKUKUH HUBUNGAN DENGAN ATASE PENDIDIKAN SELANGOR

August 17, 2026

KAHERAH, 11 Ogos 2026 – ISMA Cawangan Mesir (ISMA-Mesir) telah mengadakan satu kunjungan ziarah mahabbah ke Pejabat Atase Pendidikan Selangor Mesir pada 11 Ogos 2026. Kunjungan tersebut telah disambut oleh Encik Ahmad Firdaus bin Muhammad, Atase Pendidikan Selangor Mesir.

Kunjungan ini diadakan sebagai salah satu usaha ISMA-Mesir untuk membina dan memperkukuh hubungan silaturahim bersama pihak Atase Pendidikan Selangor, di samping membuka ruang komunikasi dan kerjasama yang lebih erat antara mahasiswa dengan pihak atase pendidikan negeri.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut bertukar pandangan berkaitan prestasi akademik mahasiswa di Mesir, khususnya dalam usaha melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja aktif dalam aspek kepimpinan dan komuniti, bahkan turut cemerlang dalam bidang akademik. Perbincangan ini melihat kecemerlangan akademik sebagai salah satu aspek penting yang perlu diberikan perhatian sepanjang tempoh pengajian mahasiswa di bumi Mesir.

Antara perkara yang turut dibincangkan ialah faktor-faktor yang dapat membantu meningkatkan kecemerlangan akademik mahasiswa, termasuk usaha menggalakkan pembentukan study group, perkongsian ilmu sesama mahasiswa serta membiasakan diri dengan latihan menjawab soalan-soalan tahun terdahulu. Pendekatan sebegini dilihat mampu membantu mahasiswa memahami bentuk soalan, mengukuhkan kefahaman terhadap subjek serta meningkatkan tahap persediaan mereka sebelum menghadapi peperiksaan.

Selain aspek kepimpinan, kecemerlangan akademik juga merupakan antara ukuran penting dalam membentuk mahasiswa yang unggul. Mahasiswa yang bakal pulang berkhidmat kepada masyarakat sewajarnya memiliki keseimbangan antara ilmu, kepimpinan dan akhlak. Ilmu yang diperoleh sepanjang berada di bumi Mesir bukan sekadar untuk mencapai kejayaan peribadi, bahkan menjadi bekalan untuk menyumbang kepada masyarakat dan ummah apabila kembali ke tanah air kelak.

Pertemuan tersebut turut membincangkan bentuk penyertaan dan penglibatan ISMA Mesir dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak Atase Pendidikan Selangor. Perbincangan ini diharapkan dapat membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam program yang bersifat akademik, pembangunan mahasiswa, kemasyarakatan dan kepimpinan.

Sesungguhnya, pembinaan jaringan antara mahasiswa dengan pihak atase pendidikan merupakan satu langkah yang penting dalam memperkukuh ekosistem pembangunan mahasiswa di Mesir. Setiap pertemuan dan perkongsian yang berlangsung bukan sahaja menjadi medan bertukar pandangan, bahkan membuka ruang untuk mahasiswa mendapatkan bimbingan serta mengenali dengan lebih dekat keperluan masyarakat dan negeri yang bakal mereka berkhidmat kelak.

Seiring dengan aspirasi “Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah”, ISMA Mesir akan terus berusaha memperkukuh jaringan strategik dengan pelbagai pihak serta memberi perhatian terhadap pembangunan mahasiswa secara menyeluruh. Diharapkan usaha ini dapat melahirkan generasi mahasiswa yang berilmu, berprestasi dalam akademik, berjiwa kepimpinan dan berakhlak mulia, seterusnya mampu memberikan sumbangan yang bermakna kepada ummah dan tanah air apabila pulang ke Malaysia nanti.

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini

MUIS Mesir Anjurkan Kelas Pengajian Fiqh Syafie

MUIS Mesir Anjurkan Kelas Pengajian Fiqh Syafie

Tanpa syak lagi, ilmu merupakan asas penting dalam kehidupan seorang muslim. Dengannya, seseorang dapat mengenali jalan yang benar serta mengetahui bagaimana sesuatu amalan itu dilaksanakan bertepatan dengan tuntutan syariat. Cukuplah…
Baca Lagi
Kalam Pengerusi Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah

Kalam Pengerusi Mahasiswa Unggul, Memimpin Ummah

Mahasiswa unggul bukan sekadar penuntut ilmu, bahkan merupakan pemegang amanah untuk menghidupkan syiar Islam di setiap tempat yang dijejaki. Keunggulan seorang mahasiswa tidak diukur pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi turut…
Baca Lagi