Blog Isma Mesir

MUIS Mesir Menjalin Kerjasama dengan PAKEM bagi Mengadakan Pengajian Tafaqquh

July 15, 2026

KAHERAH, 11 Julai 2026 — Mudarasah ISMA Mesir (MUIS) yang diketuai Ust Nik Ahmad Khalifah telah mengadakan pertemuan bersama pimpinan Persatuan Anak Kenyalang Mesir (PAKEM) bagi membincangkan pelaksanaan Program Dars Fiqh yang akan berlangsung sepanjang tempoh cuti soifi pada tahun ini.

Pertemuan kali ini telah berlangsung di bangunan Asrama Anak Kenyalang Mesir, Hayyu Asyir, baru-baru ini. Pengarah Program Dars Fiqh Syafi’e, Ustaz Ammar Fauat dan Ustaz Izz Mirza selaku setiausaha program telah membentangkan pelan kertas kerja program yang bakal dianjurkan. Manakala pihak PAKEM diwakili oleh Yang Di-Pertua, Ustaz Ahmad Alwy, Ustaz Abdul Aziz Muttalib selaku Bendahari PAKEM dan Ust Muhammad Azeem selaku Biro Akademik PAKEM.

Program yang disusun adalah sambungan Daurah Matan Sittin Mas’alah yang telah diadakan pada sesi lepas dan akan disampaikan oleh Syeikh Muhammad Sayyid Sa’dani, merupakan ahli Lajnah Darul Ifta Mesir, yang bakal berlangsung bermula Julai ini.

Pengajian Fiqh Syafi’e disusun sebagai medium memperkukuh penguasaan ulum syarak, khususnya dalam fiqh mazhab al-Syafi’i, di samping usaha berterusan membina malakah ijtihadiyah melalui penguasaan pembacaan kitab turath bersama para masyayikh.

Perbincangan ini mencerminkan usaha bersama dalam memperkasakan keilmuan Islam dalam kalangan mahasiswa di Mesir. Usaha ini juga diharapkan dapat melahirkan generasi asatizah dan tokoh ilmuwan yang bukan sahaja kukuh dari sudut kefahaman fiqh, malah memiliki syakhsiah unggul dan kemampuan menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

Dalam dunia yang berhadapan dengan pelbagai cabaran pemikiran dan keilmuan, ISMA Mesir melalui MUIS Mesir bertekad melahirkan mahasiswa yang cemerlang akademik, memahami Islam secara wasatiy, berdisiplin dalam menggunakan kaedah ilmu yang sahih, dan mampu menilai isu-isu semasa mengikut maslahah ummah.

#MUISMesir
#IsmaMesir
#MahasiswaUnggulMemimpinUmmah

 

 

 

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini