Blog Isma Mesir

Hijrah dan Amanah : Membina Kepimpinan Ummah Bermula Dengan Diri Sendiri

June 16, 2026

Tarikh Hijriah mempunyai kisah kewujudannya yang tersendiri, iaitu pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab ketikamana ia diwujudkan sebagai penyelesaian kepada masalah pentadbiran, iaitu ketiadaan catatan tahun pada surat-surat dan dokumen rasmi. Lalu para sahabat memilih peristiwa Hijrah Nabi sebagai permulaan takwim, kerana ia dianggap peristiwa yang memisahkan antara kebenaran dan kebatilan.

Saban tahun kita menyambut tahun baru, ramai berbicara tentang azam dan perubahan. Ini kerana sememangnya fitrah manusia mencintai kebaikan, kemuliaan dan kesejahteraan hidup. Mereka yang ingin kehidupannya menjadi lebih baik, pasti akan sentiasa melakukan perubahan dari satu perkara yang buruk kepada baik, daripada baik kepada yang lebih baik.

Namun sedarkah kita, setiap perubahan yang ingin dilakukan ia tidak semudah merancang impian dan menabur menabur kata-kata indah. Ramai yang mampu melakar destinasi, tetapi tidak ramai yang sanggup menempuh jalan yang panjang menuju ke sana.

Kerana itu, untuk memulakan perubahan, tidak cukup dengan sekadar menghiasi kata dan memenuhkan dakwat dengan corak-corak yang indah, tetapi mestilah mula dengan menanam sifat kebertanggungjawaban dalam diri.

Mula dengan Memimpin Diri

Jika ditelusuri perjalanan hidup Baginda s.a.w, kita akan dapati bahawa Baginda hidup dalam suasana masyarakat yang rosak dari segi moral, akhlak, penyelewengan terhadap ajaran agama, dan pelbagai kerosakan yang lain.

Namun, kerana peribadinya yang utuh, Baginda tidak terikut-ikut arus buruk yang menguasai suasana dan cara hidup sekelilingnya. Ini tidak akan berlaku melainkan kerana adanya sifat tanggungjawab yang dapat mengawal serta memimpin diri.

Baginda bukan sekadar dapat memimpin diri, bahkan dapat memimpin masyarakatnya dalam beberapa isu yang berlaku sebelum kenabian, sehingga ketika itu Baginda mendapat kepercayaan dan digelar sebagai “Al-Amin” iaitu orang yang jujur lagi amanah.

Manusia adalah Makhluk yang Memikul Amanah

Firman Allah s.w.t:

إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (al-Ahzab:72)

Al-Sa’di menyimpulkan; “setelah dikemukakan kepada manusia, lalu ia memikul amanah yang berat ini dalam keadaan ada dikalangan mereka yang zalim dan jahil. Maka terbahagilah manusia kepada tiga golongan:

1.Golongan Munafik; mereka cuba menzahirkan bahawa mereka menjalankan amanah ini pada zahirnya, namun tidak secara batin.

2.Golongan Musyrik; mereka meninggalkan amanah ini, secara zahir dan batin.

3.Golongan Mu’min; mereka melaksanakan amanah ini secara zahir dan batin.

Lalu Allah mengemukakan amal ketiga golongan manusia ini, dan menyebutkan balasan setiap dari mereka. Golongan pertama dan kedua akan diazab, manakala golongan ketiga akan diberi pengampunanNya” (Taisir Karim al-Rahman)

Melalui Ujian dan Menyempurnakan Amanah

Setiap mereka yang memikul amanah, tidak akan sunyi daripada ujian, selama mana mereka ingin menunaikan dan melaksanakan segala syariat yang dipertanggungjawabkan sama ada yang berbentuk suruhan atau larangan. Adakalanya ujian itu berbentuk kesenangan agar disyukuri, dan kadangkala berbentuk kepayahan agar bersabar.

Semua itu bukanlah supaya mereka semakin lemah semangat, bahkan itulah medan pentarbiahan Allah kepadanya, agar sentiasa menguatkan keazaman dan mampu untuk bangkit melaksanakan amanah-amanah yang lebih besar.

Firman Allah s.w.t:

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِنْ ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”” (al-Baqarah:124)

Memimpin Salah Satu Tanda Kesempurnaan Iman

Kepimpinan bukanlah simbol kemegahan dan kekuasaan yang dibangga-banggakan, tetapi ianya salah satu sifat orang mu’min; iaitu mencintai dan mengikuti hidayah, serta turut mencintai sekiranya hidayah itu diwarisi, dipersebarluaskan dan bertambah bilangan orang-orang yang mendapat hidayah.

Di dalam surah Al-Furqan, setelah Allah menyebutkan ciri-ciri kebaikan yang dilakukan oleh Ibadurrahman, sifat terakhir yang disebutkan sebagai petanda ianya merupakan sifat penyempurnaan bagi amal-amal sebelumnya, iaitu mereka yang berdoa agar dirinya dan orang-orang terdekat dikalangannya juga menjadi pemimpin/imam (ikutan) bagi orang-orang bertakwa.

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Dan mereka yang berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami daripada isteri-isteri dan zuriat keturunan kami penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.”(al-Furqan: 74)

Refleksi Sempena Tahun Baru Hijrah

Sempena tahun baru hijrah 1448 kali ini, marilah sama-sama kita kembali bermuhasabah dengan menguatkan keazaman dalam diri untuk menanam sifat kepimpinan dan tanggungjawab dalam melaksanakan tuntutan-tuntutan agama.

Apatah lagi kepimpinan islam dizaman ini dilihat tidak begitu kuat sehingga banyak isu-isu yang timbul berkaitan orang-orang islam yang teraniaya di tanah dan negaranya sendiri.

Fenomena ini bukan untuk ditangisi atas kelemahan yang berlaku. Tetapi menuntut agar umat islam mengambil langkah melakukan satu tindakan yang strategik bagi mengembalikan kekuatan umat islam.

Kita tidak kekurangan da’i-da’i islam, ilmuwan islam, instutisi pengajian islam, tetapi mungkin kita kekurangan kesatuan suara dan tindakan yang menjurus ke arah pembinaan kepimpinan ummah yang benar-benar dapat mencabar kekuatan musuh yang selama ini sedang melemahkan umat islam.

Semoga segala usaha yang digerakkan untuk menguatkan kepimpinan ummah pada hari ini diganjari Allah s.w.t dengan sebaik-baik ganjaran seperti yang dijanjikan, dan kepimpinan itu terus diwarisi oleh orang-orang bertakwa dikalangan generasi yang akan datang.

 

15 Jun 2026

Ustaz Nik Ahmad Khalifah bin Nik Ab Rahim

JK Akademik ISMA Mesir 2026

 

 

 

 

Kongsikan artikel ini :

Artikel Terkini