
KAHERAH, 15 Julai 2025 – Isma Mesir merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ustaz Mus’ab bin Omar bersama isteri tercinta, Alia Nathasa binti Majid, yang telah selamat berangkat pulang ke tanah air pada hari Selasa, 15 Julai 2025.
Setelah empat tahun menimba ilmu di bumi Mesir sebagai mahasiswa Kuliah Syariah, Universiti Al-Azhar, Ustaz Mus’ab kini akan pulang bagi menyambung perjuangan serta menabur bakti di tanah air tercinta.
Sepanjang berada di Mesir, beliau dikenali sebagai sosok pelajar yang seimbang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah aktif dalam lapangan dakwah dan tarbiah bersama Isma Mesir. Pada tahun 2023, beliau telah menerima Anugerah Kecemerlangan dalam Majlis Apresiasi Anak-anak Negeri Sembilan, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian beliau sebagai anak jati Negeri Sembilan.
Beliau turut memainkan peranan dalam memimpin Saff Etihad, sebuah platform riadah mahasiswa yang menghimpunkan semangat ukhuwah menerusi sukan bola sepak dan futsal. Usahanya dalam membina kebersamaan dan memperkasa sahsiah dalam kalangan pelajar Malaysia di Mesir menjadi antara sumbangan yang sangat dihargai.
Isma Mesir menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas segala jasa, sumbangan dan kepimpinan yang telah beliau curahkan sepanjang berada di Mesir. Semoga segala amalnya diterima dan diberkati Allah, serta menjadi bekalan yang bernilai dalam meneruskan perjuangan di tanah air.
Siru ‘ala barakatillah, teruskan melangkah dan jangan berhenti berjuang.