
KAHERAH, 6 Jun 2025 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Mesir telah melaksanakan ibadah korban pada hari kedua Aidiladha, Sabtu, 7 Jun 2025, sebagai menghayati kisah pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dalam menunaikan perintah Allah SWT.
Sebanyak 12 ekor kambing dan seekor khoruf telah dikorbankan pada tahun ini. Sesi penyembelihan dijalankan pada waktu pagi bertempat di kawasan Jazirah Suq, Hayy Tsamin, manakala sesi pemotongan dan pengagihan daging dilaksanakan pada sebelah petang. Seramai lebih kurang 40 orang mahasiswa telah menerima agihan daging korban.
Selain pengagihan daging, ISMA Mesir turut menyediakan jamuan makan sempena Aidiladha pada keesokan harinya sebagai meraikan semangat kebersamaan dan ukhuwah dalam kalangan mahasiswa.
Melalui ibadah korban ini, ISMA Mesir berharap agar ia dapat menjadi medan tarbiah dalam meraih takwa kepada Allah SWT, di samping menyemai nilai prihatin terhadap keperluan masyarakat sekeliling.
#ismamesir
#aidiladha1446H
#jiwakuatpimpinmasyarakat