
Kaherah, 6 April 2025 – Seramai hampir 80 orang mahasiswa Malaysia di Mesir telah menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Safi 2025 anjuran ISMA Mesir yang berlangsung meriah di Dewan Taftazani, Hayyu Sabi’.
Majlis tahunan ini dianjurkan bagi meraikan sambutan Syawal di kalangan mahasiswa di Mesir dan memperkukuh ukhuwah, serta menghidupkan suasana hari raya walaupun berada jauh dari tanah air tercinta.
Kehadiran tetamu jemputan seperti wakil Persatuan Anak Kenyalang Mesir dan wakil Haluan Mesir turut menyerikan lagi suasana majlis yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan muhibah.
Dalam pada itu, hadirin turut diseru agar terus cakna dan menunjukkan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang terus berdepan dengan penindasan. Seruan tersebut disampaikan sebagai peringatan bersama bahawa pembebasan Palestin memerlukan usaha berterusan daripada umat Islam seluruh dunia, termasuk mahasiswa di perantauan.
Semoga sambutan Aidilfitri seperti ini mampu memupuk sikap persaudaraan yang lebih kukuh, meningkatkan semangat kebersamaan, dan menyemai rasa tanggungjawab dalam diri mahasiswa untuk terus berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.
#safi25 #aidilfitri #ismamesir #JiwakuatPimpinmasyarakat