

HAYYU SABIE, 15 Oktober – “Zaman mahasiswa bukanlah zaman untuk bergerak hanya mengikut arus semata-mata. Ia adalah zaman untuk kita mencari dan membina potensi diri sendiri. Diri sendiri adalah kunci kepada sejauh mana hasil yang akan terjadi selepas tamat belajar. Kesibukan adalah satu perkara subjektif yang boleh diuruskan. Ia adalah atas kehendak dan susunan masa yang diaturkan oleh diri kita,” kata panel program Inspirational Talk: Medical Life In Azhar saudara Ahmad Uzsair Umair Bin Mohamad Johar, mahasiswa kuliah perubatan tahun enam Universiti Al-Azhar yang juga merupakan aktivis I-Medik Mesir.
Beliau turut berkongsi kepada hadirin tentang kepentingan aktivisma walaupun dalam kesibukan sebagai pelajar perubatan di Al-Azhar. Menurut beliau, aktivisma tidak menghalang kecemerlangan akademik bahkan mengajar mahasiswa tentang cara berkomunikasi dengan masyarakat yang membuatkan jaringan komunikasi yang lebih meluas di samping dapat menerokai potensi diri di luar jangkaan diri kita sendiri. Ia juga mengajar pengurusan masa dengan lebih tersusun dan pengendalian kehidupan yang lebih sistematik. Antara motivasi kecemerlangan beliau dalam akademik ialah sentiasa berpegang dengan slogan akademik Isma Mesir iaitu ‘Mumtaz Untuk Ummah’.
Panel kedua yang juga merupakan rakan sekelas beliau, saudara Hatta Bin Hamzah pula menerangkan tentang keistimewaan belajar perubatan di negara Mesir yang menggabungkan sinergi antara agama dan akademik. Di samping mengejar kecemerlangan akademik dalam bidang perubatan, beliau juga dapat belajar bahasa arab dengan bermuamalah bersama warga tempatan dalam kehidupan seharian. Subjek agama dalam pembelajaran perubatan di Al-Azhar seperti Al-Quran, Tafsir, Bahasa Arab, Fiqh Perubatan dan sebagainya menjadikan ia berbeza dan istimewa berbanding pembelajaran perubatan di universiti-universiti lain di Mesir.
Program yang dianjurkan oleh I-Medik Mesir dengan kerjasama Isma Mesir syukbah Hayyu Sabie ini berlangsung pada Ahad lepas ini berlangsung dari jam 7.30pm hingga 10.30pm diakhiri dengan jamuan makanan istimewa khas dari Isma Hayyu Sabie’.