


MADINAH NASR, 25 September – Kira-kira 60 orang ahli Isma-Mesir Syukbah Madinah Nasr telah bersama-sama berkumpul bagi menjayakan Hari Keluarga Isma-Mesir Syukbah Madinah Nasr pagi semalam. Program yang bertempat di Nadi Syabab, Hayyu Sadis tersebut telah bermula seawal jam 8.00 pagi dan berlangsung sehingga jam 11.00 pagi.
Antara objektif pelaksanaan program ini adalah bagi merapatkan lagi hubungan ukhuwwah antara ahli Isma-Mesir Syukbah Madinah Nasr selain meningkatkan semangat kesukanan dan budaya sihat dalam kalangan ahli.
Tiga jenis permainan sukan iaitu futsal, bola tampar dan badminton telah dipertandingkan di dalam program ini. Seterusnya program diserikan lagi dengan ucapan wakil Majlis Tertinggi Isma-Mesir Syukbah Madinah Nasr, Ustaz Lutfi Paridin dan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
“Moga dengan perkumpulan ini dapat memberi semangat dan tolakan kepada ahli untuk meletakkan diri di posisi sebenar sebagai seorang mahasiswa dalam setiap sudut kehidupan di bumi Mesir, terutamanya dalam tugas sebagai seorang pendakwah yang akan memikul beban risalah ini”, ujar Ustaz Amir Nafhan selaku pengarah program semasa dihubungi wartawan semalam.


